SEREMBAN - Pertuduhan terhadap suspek lelaki yang disyaki terlibat dalam kes menggunakan bahan letupan buatan sendiri (IED) di Nilai pada 22 Disember lalu akan dituduh pada Jumaat.Ketua Polis Daerah Nilai, Superitenden Johari Yahya berkata, lelaki berusia 63 tahun itu akan dituduh atas lima pertuduhan di bawah Akta Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958."Tertuduh akan dituduh di bawah Seksyen 3 kerana didapati memiliki bahan letupan dan Seksyen 4 kerana secara salah dan dengan niat jahat telah menggunakan bahan letupan terbabit."Selain itu, pertuduhan akan dibuat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan, kerana melakukan khianat dengan menggunakan bahan letupan sehingga menyebabkan kerosakan ke atas sebuah kenderaan awam," katanya kepada media pada Khamis.Bagaimanapun ujarnya, pertuduhan terhadap suspek akan dibacakan di Hospital Tunku Jaafar di sini kerana dia masih menerima rawatan akibat kecederaan dialami.Tambahnya, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kes berprofil keselamatan tinggi dan pihak polis telah mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan keselamatan awam sentiasa terjamin."Polis memandang serius sebarang perbuatan yang melibatkan bahan letupan dan ancaman terhadap keselamatan awam dan menegaskan bahawa tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti sedemikian," katanya.Justeru katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses perundangan.Sebelum ini media melaporkan, polis menemukan objek disyaki IED susulan kejadian letupan di kawasan Desa Palma selepas menerima laporan orang awam yang memaklumkan terdapat objek meletup serta paku bertaburan di kawasan itu pada jam 7.08 pagi.