BUTTERWORTH – Seorang anggota polis berpangkat konstabel mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menipu seorang wanita bagi menyelesaikan saman pada Jun dua tahun lalu.Tertuduh, Awang Azizan Awang Jana, 44, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini, pada Khamis.Mengikut pertuduhan, tertuduh yang masih bertugas di Balai Polis Nibong Tebal didakwa dengan curang memperdaya seorang wanita berusia 53 tahun untuk menyelesaikan empat saman polis berjumlah RM850 milik adik lelakinya dengan bayaran sebanyak RM620.Tertuduh seterusnya didakwa mendorong wanita berkenaan membuat pindahan wang sebanyak RM620 ke dalam akaun bank miliknya, sedangkan tertuduh mengetahui ia tidak benar.Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah cawangan bank di Nibong Tebal pada 12 Jun 2024.Sehubungan itu, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan (Akta 574).Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Azura Zulkiflee dan Nurnajihatul Idayu Mohd Azuyar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.Noor Azura menawarkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan syarat tambahan iaitu melaporkan diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terdekat serta menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.Dalam rayuannya, Awang Azizan memohon agar wang jaminan dikurangkan kerana mempunyai tiga tanggungan keluarga."Saya mohon jaminan dikurangkan kerana mempunyai tiga ahli keluarga yang perlu disara iaitu isteri, anak serta adik yang menghadapi kanser," katanya.Zulhazmi kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan melaporkan diri ke pejabat SPRM terdekat setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.Kes ditangguhkan sehingga 9 Februari depan untuk sebutan semula.