MELAKA - Bunyi letupan yang didengari awal pagi Khamis dipercayai berpunca daripada tembakan di hadapan sebuah pusat hiburan di Melaka Raya.Difahamkan kejadian berlaku sekitar jam 4 pagi apabila salah seorang daripada dua individu terbabit melepaskan tembakan selepas tercetus pergaduhan.Menurut saksi kejadian, mereka terdengar bunyi seperti tembakan namun tidak mengesyaki perkara serius kerana menyangka ia hanya pergaduhan biasa atau bunyi muzik pusat hiburan."Saya terdengar bunyi seperti dua das tembakan sekitar jam 4 pagi tetapi tidak mengendahkannya."Pagi tadi sekitar jam 6 pagi, saya nampak beberapa anggota polis bersama anjing K9 datang dan mengutip dua kelongsong peluru di hadapan pusat hiburan itu," katanya.Seorang pekerja pembersihan pula berkata, kejadian itu turut mengakibatkan cermin sebuah kereta Perodua Myvi pecah sebelum salah seorang individu melepaskan tembakan.Bagaimanapun katanya, tembakan dipercayai tidak mengenai sasaran dan tiada kecederaan dilaporkan.Seorang lagi pekerja hotel berhampiran memaklumkan hanya menyedari kejadian itu selepas melihat polis menutup jalan di lokasi kejadian sekitar jam 7 pagi.Sementara itu, Sinar Harian sedang mendapatkan pengesahan berhubung kejadian tersebut daripada Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit.