YAPEIM perkukuh peranan, pulih keyakinan masyarakat

CYBERJAYA – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) perlu memainkan peranan yang lebih strategik sebagai institusi yang mampu memulihkan keyakinan masyarakat terhadap institusi agama, khususnya ketika krisis kepercayaan semakin ketara dalam era pasca-normal.Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, fenomena ‘trust deficit’ bukan sahaja melibatkan institusi kerajaan, malah turut menjejaskan institusi agama yang sebelum ini menjadi rujukan utama masyarakat."Dalam era hari ini, krisis kepercayaan berlaku secara meluas. Kita berhadapan dengan trust deficit terhadap kerajaan, institusi dan juga institusi agama."Justeru, cabaran terbesar YAPEIM ketika ini ialah mengembalikan keyakinan masyarakat," katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Warga Kerja YAPEIM dan pelancaran Tahun Infak YAPEIM 2026 di sini pada Khamis.Menurut beliau, pendekatan lama yang bergantung kepada autoriti semata-mata tidak lagi mencukupi. Sebaliknya, institusi agama perlu membuktikan keberkesanan melalui perkhidmatan, penyampaian dan impak sebenar kepada kehidupan rakyat."Jika dahulu pandangan mufti atau institusi agama diterima dan menenangkan keadaan, hari ini realitinya berbeza. Kita perlu berhadapan dengan kritikan terbuka, termasuk di media sosial. Ini menuntut perubahan pendekatan," jelas beliau.Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah, Abdul Khudus Mohd Naaim, dan Ketua Pengarah YAPEIM, Zabidi Nasan.Zulkifli menegaskan bahawa YAPEIM perlu muncul sebagai Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam yang berfungsi secara menyeluruh dengan tiga mandat utama iaitu ekonomi Islam, pendidikan dan sosial, dan bukan sekadar badan penyalur bantuan.Katanya, pemulihan kepercayaan tidak boleh dicapai hanya melalui retorik atau doa, sebaliknya menuntut perkhidmatan yang pantas, tangkas dan benar-benar menyelesaikan permasalahan masyarakat."Kepercayaan rakyat hanya boleh dikembalikan apabila institusi hadir dengan penyelesaian sebenar, disokong inovasi dan daya cipta yang memenuhi keperluan semasa," ujarnya.Beliau turut mengingatkan bahawa dunia hari ini berdepan ketidaktentuan geopolitik dan krisis bersepadu berskala besar, menjadikan satu isu kecil berpotensi mencetuskan kesan besar kepada kestabilan negara dan masyarakat.Dalam konteks itu, katanya, YAPEIM perlu bergerak dengan strategi baharu serta pengurusan risiko yang lebih tersusun, selari dengan perubahan landskap global dan jangkaan rakyat.Menurut beliau, usaha memulihkan kepercayaan juga memerlukan kesatuan hala tuju dalam organisasi, dengan semua pihak berkongsi matlamat dan aspirasi yang sama."Kita mesti ‘connected to one another, connected to leaders dan connected to ideas’. Inilah prasyarat kejayaan, sama ada dalam sektor kerajaan mahupun swasta," katanya.Zulkifli turut menyifatkan momentum semasa negara yang stabil dari segi ekonomi, politik dan keharmonian masyarakat sebagai peluang besar untuk YAPEIM memperkukuh peranannya sebagai institusi yang diyakini rakyat.Pada majlis itu, beliau turut memuji pencapaian YAPEIM yang telah menyalurkan lebih RM700 juta kepada lebih sejuta penerima di seluruh negara, sekali gus membuktikan keupayaan yayasan itu untuk memberi impak besar jika diurus dengan berkesan dan berintegriti."Matlamat kita bukan lagi ‘trust deficit’, tetapi ‘trust surplus’. YAPEIM perlu berada di barisan hadapan sebagai institusi yang diyakini, dihormati dan benar-benar dirasai manfaatnya oleh rakyat," katanya.Tahun Infak YAPEIM 2026 dilancarkan dengan sasaran kutipan sebanyak RM70 juta sebagai usaha memperkukuh budaya infak dan menjadikan yayasan itu bukan sekadar institusi kebajikan, sebaliknya satu gerakan yang memacu perubahan sosial dan ekonomi ummah.