IPOH - Pelaksanaan diskaun kompaun saman 50 peratus menerusi inisiatif Madani berjaya meningkatkan kutipan hasil Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak sebanyak RM30.68 juta, tahun lalu.Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, kutipan melalui kaedah kadar rata (flat rate) itu meningkat berbanding RM25.87 juta pada tahun sebelumnya, sekali gus menunjukkan keberkesanan pendekatan berhemah yang diperkenalkan kerajaan.Menurut beliau, secara keseluruhan JPJ Perak merekodkan kutipan hasil lebih RM239 juta tahun lalu, meningkat 10.4 peratus berbanding RM217 juta pada 2024."Walaupun kutipan meningkat, jumlah notis P22 pula menunjukkan penurunan kepada 129,120 notis pada 2025 berbanding 130,748 notis pada 2024, iaitu pengurangan sebanyak 1,628 notis."Ini menunjukkan tingkah laku dan tahap pematuhan pengguna jalan raya semakin baik," katanya dalam sidang akhbar Operasi Pengarah di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek di Jalan Sultan Azlan Shah di sini pada Khamis.Mohammad Yusoff berkata, pengurangan jumlah notis dikeluarkan membuktikan operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan membuka ruang perubahan ke arah sikap positif kalangan pengguna jalan raya."Orang ramai dinasihatkan sentiasa peka terhadap undang-undang serta memastikan dokumen kenderaan berada dalam keadaan sah dan lengkap demi keselamatan diri, keluarga serta pengguna jalan raya lain," katanya.