Usah berkokok berlebihan, Helmy pertahan Dr Akmal

MELAKA - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem tampil mempertahankan Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh susulan serangan berterusan diterima Ketua Pemuda UMNO itu berhubung cadangan supaya parti itu keluar daripada Kerajaan Perpaduan.Helmy berkata, kenyataan Dr Akmal itu merupakan pilihan beliau sebagai Ketua Pemuda UMNO dan wajar dihormati oleh semua pihak."Bagi pihak yang berlebihan mengkritik Dr Akmal di ruang media sosial saya, itu adalah pilihan saya sama ada mahu menyekat, memadam atau menyembunyikan komen."Jika saya memilih untuk membalas komen, kita sama-sama jangan berkecil hati. Chill-chill saja," katanya menerusi perkongsian di Facebook.Ujarnya, beliau lebih mengetahui tindakan Dr Akmal kerana persahabatan mereka yang telah terjalin sejak sekian lama."Aku ini produk yang dihasilkan oleh Pemuda UMNO dan aku dengan Dr Akmal sudah bersahabat sejak kami tidak memegang sebarang jawatan lagi."Jangan berkokok berlebihan," katanya.Pada Sabtu lalu, Dr Akmal membawakan dua usul dalam Konvensyen Khas Pemuda UMNO, iaitu agar parti kembali bekerjasama dengan Pas dan menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan serta berperanan sebagai pembangkang.Susulan itu, Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) menggesa Dr Akmal supaya segera meletakkan jawatan sebagai Exco dan melaksanakan pendirian beliau itu.DAPSY Kebangsaan dalam satu kenyataan berkata, gimik ‘keluar kerajaan’ yang dimainkan Dr Akmal sejak beberapa hari lalu terbukti sekadar bahan lawak politik apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan pendirian parti untuk terus bersama Kerajaan Perpaduan.Sementara itu, menerusi hantaran terbaharu Dr Akmal di media sosialnya mencetuskan tanda tanya apabila beliau menyatakan bahawa mungkin sudah tiba masanya untuk mengundur diri.