PUTRAJAYA – Seorang bekas Panglima Tentera Darat direman selama tujuh hari bermula Khamis bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan rangkaian kartel tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM).Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya.Ezrene turut mengeluarkan perintah reman selama tiga hari dan enam hari masing-masing kepada isteri pertama dan kedua bekas pegawai tertinggi Tentera Darat tersebut.Peguam yang mewakili bekas Panglima berkenaan, Nizamuddin Hamid, berkata, pihaknya memberi kerjasama penuh kepada SPRM untuk menjalankan siasatan."Kami juga memohon kepada mahkamah agar anak guam saya diberi akses kepada peguam."Anak guam saya masih belum sihat sepenuhnya dan sedang dalam proses pemulihan," katanya ketika ditemui selepas selesai proses reman tersebut.Pada Rabu, media melaporkan ketiga-tiga mereka ditahan selepas hadir ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya sekitar jam 3 petang.Selain itu, pasangan suami isteri yang merupakan pemilik sebuah syarikat turut direman selama tujuh hari bermula Rabu.Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan penahanan tersebut dan menegaskan bahawa semua pihak perlu menunggu hasil siasatan yang sedang dijalankan.SPRM komited untuk melaksanakan siasatan dengan penuh ketelusan dan profesionalisme.Pada Selasa, media melaporkan seramai 17 pengarah syarikat direman selama lima hari bagi membantu siasatan kes sama.Menurut SPRM, kesemua suspek terdiri daripada sembilan lelaki dan lapan wanita berusia lingkungan 20-an hingga 60-an, yang ditahan antara jam 8.30 malam hingga 11.30 malam Isnin ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Putrajaya.Siasatan awal mendapati, kesemua pengarah syarikat terbabit disyaki membayar wang rasuah kepada pegawai kanan Tentera Darat Malaysia sebagai balasan untuk mendapatkan projek pembekalan dan penyelenggaraan yang melibatkan TDM.Sebelum ini, SPRM memaklumkan bahawa bekas Panglima Tentera Darat itu dikehendaki memberi keterangan pada 28 Disember 2024, namun tidak dapat berbuat demikian kerana dimasukkan ke hospital.SPRM turut hadir ke Kementerian Pertahanan pada 23 Disember lalu bagi memulakan siasatan awal terhadap beberapa projek yang membabitkan Tentera Darat sejak 2023.Pada 29 Disember lalu, Azam memaklumkan bahawa SPRM telah menyita enam akaun bank milik pegawai berkenaan serta ahli keluarganya bagi membantu siasatan.Dua hari sebelumnya, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, mengesahkan bahawa Tan Sri Muhammad Hafizuddeain telah diarahkan bercuti berkuat kuasa serta-merta sehingga siasatan terhadap beliau selesai.