Seludup dadah RM1.31 juta dalam papan pemotong, tiga lelaki berdepan hukuman mati

KOTA KINABALU – Polis Sabah berjaya melumpuhkan rangkaian pengedaran dadah berskala besar apabila merampas lebih 40 kilogram (kg) dadah pelbagai jenis bernilai RM1.31 juta dalam dua serbuan berasingan di Penampang.Dalam serbuan itu, polis turut menahan tiga lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam aktiviti tersebut.Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, berkata kes pertama melibatkan penahanan dua lelaki berusia 28 dan 29 tahun dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Donggongon, pada Selasa lalu.Menurutnya, serbuan dilakukan hasil risikan sebelum polis mengesan kedua-dua suspek dalam keadaan mencurigakan di ruang tamu rumah berkenaan."Hasil pemeriksaan oleh pegawai dan anggota polis di ruang tamu rumah tersebut telah menemui 40 bungkusan plastik lutsinar bersaiz besar."Pemeriksaan lanjut mendapati bungkusan itu mengandungi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat kasar keseluruhan 39.5 kilogram syabu, bernilai lebih kurang RM1,264,000," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, pada Khamis.Jauteh berkata, siasatan mendapati sindiket berkenaan menggunakan laluan laut untuk menyeludup masuk dadah ke Sabah dengan taktik menyembunyikan bahan terlarang itu dalam barangan harian."Hasil risikan mendapati modus operandi penyeludupan dadah ke Sabah dilakukan melalui jalan laut, iaitu menggunakan syarikat penghantaran dan disembunyikan dalam papan pemotong," katanya.Sementara itu, dalam kes kedua, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 39 tahun dalam serbuan di hadapan lobi sebuah hotel pada 2 Januari lalu."Seorang lelaki berusia 39 tahun ditahan dan hasil pemeriksaan menemui lapan paket plastik pelbagai saiz mengandungi dadah disyaki serbuk ekstasi dengan anggaran berat kasar 214.97 gram."Selain itu, 40 paket plastik lutsinar mengandungi serbuk hablur disyaki dadah jenis ketamin seberat 113.22 gram, dengan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM22,000," katanya.Menurut Jauteh, serbuan susulan turut dijalankan di sebuah unit pangsapuri di daerah sama."Satu serbuan susulan dijalankan di kawasan perumahan tersebut yang membawa kepada penemuan pelbagai jenis dadah dengan anggaran berat kasar 283.71 gram, bernilai RM25,980," katanya.Beliau berkata, kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.