Pemandu lori ais dipenjara 12 bulan, ceroboh 3 pusat NADI, lupus harta curi

PONTIAN - Seorang pemandu lori ais dipenjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas lima pertuduhan membabitkan pencerobohan bangunan dan pelupusan harta curi melibatkan beberapa Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di daerah ini, tahun lepas.Majistret Nurhafiza Haron menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhd Haziq Elvy Rimoy, 43, selepas dia mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut.Mengikut pertuduhan pertama, Muhd Haziq didakwa menceroboh masuk Pusat NADI di Balai Raya Bandar Permas, Kukup di sini tanpa kebenaran pemilik premis dengan niat menyalahi undang-undang pada 11.31 malam, 15 Mei 2025.Ia mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda hingga RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menceroboh Pejabat Pusat NADI di Taman Nilam, di sini tanpa kebenaran dengan niat menyalahi undang-undang pada 2 pagi, 6 Disember 2025 mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.Muhd Haziq turut didakwa menceroboh Pusat NADI di Batu 1, Sungai Pinggan, Benut dengan niat mencuri pada 12.42 tengah malam, 25 Disember 2025, mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga lima tahun dan boleh dilanjutkan hingga 14 tahun jika melibatkan kecurian.Dia juga didakwa melupuskan dan membantu melupuskan dua unit dekoder kamera litar tertutup (CCTV), masing-masing milik Peladang Pekan Nenas dan Pusat NADI Parit Sapran yang diketahuinya sebagai harta curi.Perbuatan itu didakwa setelah tertuduh memandu arah lokasi pelupusan harta berkenaan pada 29 Disember 2025, mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.Muhd Haziq dijatuhi hukuman penjara enam bulan bagi pertuduhan pertama manakala penjara 12 bulan bagi empat pertuduhan lain, namun mahkamah memerintahkan kesemua hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 27 Disember lepas.Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Sahira Rosley manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Zulyatie Awang. - Bernama