Shamsul Iskandar kemuka permohonan pindah pertuduhan rasuah ke Mahkamah Tinggi

KUALA LUMPUR - Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin pada Khamis mengemukakan permohonan untuk memindahkan pertuduhan rasuah yang dihadapinya ke Mahkamah Tinggi.Permohonan tersebut dikemukakan oleh pihak pembelaan di Mahkamah Sesyen hari ini.Peguamnya, Datuk Amer Hamzah Arshad berkata, pihaknya membuat permohonan tersebut kerana ingin membangkitkan isu berkaitan undang-undang melibatkan pertuduhan terhadap anak guamnya itu di peringkat Mahkamah Tinggi."Kami memaklumkan kepada mahkamah dan pihak pendakwaan bahawa setelah mengkaji pertuduhan-pertuduhan terhadap Datuk Seri Shamsul, kami akan memfailkan permohonan memindahkan kes ini ke Mahkamah Tinggi"Kerana terdapat isu undang-undang yang ingin kami timbulkan dan bangkitkan di peringkat Mahkamah Tinggi," katanya ketika sidang media di lobi Kompleks Mahkamah pada Khamis.Dalam masa yang sama, katanya, prosiding hari ini menyaksikan pihak pendakwaan dalam proses menyedia dan menyerahkan dokumen-dokumen kepada pihak pembelaan."Kami telah memaklumkan kepada pihak mahkamah bahawa kami seboleh-bolehnya berharap dokumen dapat diserahkan secepat yang mungkin."Kalau tidak sekali gus, secara berperingkat juga kami terima untuk kami kaji apakah dokumen dan keterangan-keterangan terhadap Datuk Seri Shamsul," katanya lagi.Selain itu, beliau turut mengesahkan pihak pendakwaan turut mengemukakan permohonan supaya pertuduhan terhadap Shamsul Iskandar di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dibicarakan secara serentak.Terdahulu, Hakim Suzana Hussin menetapkan sebutan kes seterusnya pada 11 Mac 2026.Pada 4 Disember lalu, Shamsul Iskandar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas empat pertuduhan rasuah lebih RM170,000 sejak tiga tahun lalu sebagai dorongan membantu syarikat ahli perniagaan Albert Tei mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.Sehari selepas itu, beliau dituduh lagi di Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas didakwa memperoleh suapan berjumlah RM62,924 daripada Albert, di sebuah bank di Country Heights, Kajang antara 28 November 2023 hingga 23 September 2024. - Awani