171 PATI ditahan di kawasan perindustrian, tapak pembinaan

SEMENYIH – Seramai 171 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu di kawasan perindustrian dan tapak pembinaan sekitar Semenyih serta Sungai Long Kajang pada Rabu.Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi yang bermula kira-kira jam 12 tengah hari itu membabitkan serbuan ke atas empat premis perindustrian dan sebuah tapak pembinaan."Seramai 216 individu diperiksa sepanjang operasi itu terdiri daripada 189 warga asing dan 27 warga tempatan."Hasil pemeriksaan, seramai 171 individu yang terdiri dari warga Bangladesh, Myanmar, India, Nepal dan Indonesia berusia di 29 hingga 50 tahun telah ditahan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.Zakaria berkata, tindakan itu dilaksanakan hasil aduan awam serta risikan oleh Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya selama dua minggu.""Operasi berkenaan membabitkan kekuatan 110 pegawai pelbagai pangkat dengan kerjasama Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Tenaga Kerja," katanya.Beliau berkata, kesemua yang ditahan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan atau permit sah, tinggal lebih masa serta menyalahgunakan pas.Dalam operasi sama, agensi sahabat turut mengeluarkan tiga kompaun berjumlah RM15,000 dan satu saman berjumlah RM500 terhadap syarikat terlibat kerana melakukan kesalahan di bawah peruntukan undang-undang berkaitan.Tambahnya, lima Borang 29 (saman kepada saksi) turut dikeluarkan kepada warganegara Malaysia bagi membantu siasatan lanjut."Kesemua warga asing yang ditahan telah ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih untuk siasatan dan tindakan lanjut."JIM tidak akan berkompromi sama sekali terhadap warganegara asing yang tinggal secara haram, tinggal lebih masa dan menyalah guna pas di negara ini," ujarnya.