JOHOR BAHRU - Gara-gara menunggang motosikal melawan arus, seorang warga asing cedera apabila motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Masai Lama, Masai, di sini, pada Khamis.Menurut Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak, kemalangan itu melibatkan motosikal jens Honda Wave yang ditunggang mangsa berusia 29 tahun dengan kereta jenis Volkswagen GTI yang dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 22 tahun."Kemalangan dipercayai berlaku pada 6 Januari 2026 pada jam 10.30 malam ketika kereta berkenaan dalam perjalanan dari arah Jalan Permas Jaya menghala ke Taman Desa Jaya."Apabila sampai di lokasi kejadian ketika pemandu sedang memandu di lorong kanan, tiba-tiba datang sebuah motosikal dari arah bertentangan secara menyongsang arus sebelum bertembung dengan motokar tersebut."Akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan dan telah dibawa dengan ambulans ke Hospital Sultan Ismail (HIS) bagi mendapatkan rawatan, sementara pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecedraan," katanya.Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.Sementara itu Mohd Sohaimi berkata, orang ramai yang memiliki maklumat berhubung kejadian diharap dapat menyalurkannya kepada pihak polis di talian talian 07-386 4222 bagi membantu siasatan."Dalam masa sama, orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, mematuhi undang-undang jalan raya dan tidak membahayakan pengguna jalan lain," katanya.