SHAH ALAM – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menyifatkan keputusan berkaitan pendakwaan terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai jawapan kepada kebenaran terhadap persoalan sebelum ini.Menerusi hantaran di Facebook, beliau meluahkan rasa syukur susulan keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap Ahmad Zahid."Alhamdulillah, akhirnya kebenaran terjawab juga. Doa orang yang teraniaya pasti dimakbulkan," katanya pada Khamis.Dalam hantaran sama, beliau turut memetik kenyataan AGC:"Jabatan Peguam Negara, berdasarkan penilaian dan pertimbangan pendakwaan, mendapati keterangan yang ada tidak mencukupi untuk menyokong penerusan pendakwaan bagi kesemua pertuduhan tersebut."Beliau berpendapat petikan itu yang membawa maksud selama ini pertuduhan terhadap Ahmad Zahid adalah bermotifkan politik tanpa mengira asas bukti yang mencukupi.Terdahulu, Ahmad Zahid bebas selepas AGC memutuskan tiada tindakan lanjut (NFA) akan diambil dalam kes melibatkan 47 pertuduhan berkaitan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.Keputusan itu susulan penelitian terhadap keseluruhan siasatan dan keterangan baharu selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 September 2023 melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid atas pertuduhan itu.