ISTANBUL - Malaysia dan Turkiye bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dalam industri strategik dengan saling memanfaatkan kekuatan dalam sektor pertahanan, tenaga dan teknologi tinggi, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.Perdana Menteri berkata, Turkiye diiktiraf sebagai antara negara yang memiliki teknologi paling maju dalam bidang pertahanan dan aeroangkasa serta industri nuklear."Anda (Turkiye) mempunyai kekuatan tersendiri, contohnya, sudah tentu yang terkuat dalam industri pertahanan...termasuk dron," kata beliau menerusi ucapan pembukaan pada mesyuarat meja bulat bersama ketua-ketua industri di sini, hari ini.Beliau berkata, justeru, kedua-dua negara perlu mewujudkan sinergi bersama dengan memberi tumpuan kepada teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), dengan memanfaatkan kelebihan Malaysia dalam sektor tenaga, semikonduktor serta elektrik dan elektronik (E&E)."Kami merupakan penggiat utama di peringkat rantau dalam semikonduktor dan E&E, malah juga pelaburan utama dari Amerika Syarikat yang masih menjadi yang terbesar," katanya.Anwar berkata, sinergi antara kekuatan industri kedua-dua negara membuka ruang untuk kerjasama strategik yang saling memberi manfaat, khususnya dalam pembangunan teknologi baharu, pemindahan pengetahuan dan pengembangan pasaran serantau. - Bernama