IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menegur beberapa peniaga di sebuah festival makanan yang beroperasi di Bulatan Sultan Azlan Shah di sini berkaitan paparan tanda harga menerusi tinjauan yang dijalankan pada Khamis.Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, pemeriksaan melibatkan 113 gerai mendapati secara keseluruhan tahap pematuhan peniaga adalah memuaskan apabila kesemua gerai mempamerkan tanda harga bagi barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan.Menurutnya, bagaimanapun terdapat peniaga yang perlu menambah baik paparan tanda harga agar lebih jelas dan mudah dilihat oleh pengguna."KPDN Perak telah memberikan teguran secara lisan kepada beberapa peniaga supaya tanda harga diletakkan di tempat yang lebih strategik tanpa memerlukan pelanggan bertanya."Saiz tulisan juga perlu bersesuaian dengan jarak pandang pengguna bagi mengelakkan sebarang kekeliruan," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.Kamalludin menjelaskan, teguran tersebut bersifat khidmat nasihat dan mendidik sebagai usaha memastikan ekosistem perniagaan yang telus serta melindungi hak pengguna.Dalam pada itu, beliau memaklumkan setakat ini tiada sebarang aduan rasmi diterima berkaitan kenaikan harga atau manipulasi harga di lokasi festival berkenaan.Jelasnya, KPDN Perak akan terus menjalankan pemantauan secara berkala bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan ditetapkan.Beliau turut menasihati orang ramai agar sentiasa menjadi pengguna yang bijak dan menyalurkan sebarang aduan berkaitan salah laku peniaga atau isu harga melalui saluran rasmi KPDN.Sebelum ini Sinar Harian menerusi laporan khas pada 5 Januari lalu menyiarkan isu harga makanan didakwa lebih mahal di festival, berbanding pasaran luar yang mencetuskan rungutan pengunjung walaupun ada berpendapat faktor tarikan visual dan populariti makanan menjadi penentu utama pembelian.Perbezaan harga yang dikenakan bukan sahaja memberi kesan kepada pengguna berpendapatan rendah malah menimbulkan perdebatan sama ada nilai itu wajar dari segi keperluan harian rakyat.