SHAH ALAM – Program ‘Glamping With Pride’ yang dijadualkan berlangsung di Hulu Langat hujung minggu depan tetap akan diteruskan walaupun mendapat bantahan daripada Pas Selangor.Program tersebut dianjurkan oleh sebuah kumpulan pro lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBTQ) yang dikenali sebagai Jejaka dan digambarkan sebagai satu retreat berasaskan komuniti yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan, sokongan rakan sebaya serta kesedaran kesihatan.Menurut kumpulan itu, aktiviti tersebut tidak melanggar undang-undang negara."Program selama dua hari ini melibatkan aktiviti perkhemahan yang sah di lokasi berdaftar dan tidak melanggar mana-mana undang-undang Malaysia."Perkhemahan, perhimpunan dan pendidikan komuniti merupakan aktiviti yang sah di negara ini."Pada ketika rakyat Malaysia sedang berdepan isu nasional yang lebih mendesak seperti tekanan kos sara hidup, rasuah dan kesihatan awam, amat mengecewakan apabila tenaga politik digunakan untuk menyerang sekumpulan kecil LGBTQ di Malaysia hanya kerana mereka meluangkan masa menikmati alam semula jadi," katanya dalam satu kenyataan.Sebelum ini, pihak berkuasa telah digesa untuk menjalankan siasatan segera serta mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap penganjuran program yang didakwa tidak bermoral dan menormalisasi ideologi gender.Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, pihaknya memandang serius penganjuran program yang secara terang-terangan mempromosikan gaya hidup songsang.Menurut beliau, negara tidak boleh bersikap longgar atas nama toleransi palsu sehingga menggadaikan nilai, akhlak dan masa depan masyarakat.Sementara itu, kumpulan Jejaka menegaskan bahawa golongan LGBTQ wujud secara aman di negara ini dan tidak mengancam ketenteraman awam.Jelasnya, program tersebut melibatkan penyertaan yang terhad dan disaring dengan lokasi hanya dimaklumkan kepada peserta yang telah disahkan demi keselamatan dan untuk mengelakkan gangguan awam."Kami akan meneruskan aktiviti seperti yang dirancang dengan mematuhi undang-undang."Bagi mereka yang masih ragu-ragu, perkhemahan dan program komuniti adalah sah di sisi undang-undang, tiada apa yang disembunyikan mengenai orang yang berkumpul untuk saling menyokong antara satu sama lain."Lokasi adalah selamat dan jika anda berada berhampiran, anda dialu-alukan untuk hadir. Komuniti ini bukan sesuatu yang perlu ditakuti," ujarnya.