Mahkamah Persekutuan tolak rayuan Bersatu berhubung kerusi Parlimen Sabah

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang enggan mengisytiharkan empat kerusi Parlimen di Sabah sebagai kosong, yang dimenangi bekas ahli parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).Keputusan majoriti 2-1 dibuat oleh panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Azizah Nawawi, bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Nallini Pathmanathan dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.Hakim Nallini dan Sequerah membentuk majoriti, manakala Hakim Azizah menyampaikan penghakiman berbeza.Menyampaikan keputusan majoriti, Hakim Nallini berkata, kes berkenaan melibatkan kuasa perlembagaan Speaker di bawah Perlembagaan Persekutuan, yang bersifat tidak boleh diadili (non-justiciable)."Mahkamah perlu menghormati doktrin pengasingan kuasa dan keistimewaan Parlimen, justeru tidak campur tangan dalam kuasa khusus Speaker di bawah Perlembagaan Persekutuan, kecuali jika disalahgunakan," katanya.Beliau berkata, dalam kes Bersatu, Speaker telah melaksanakan kuasanya di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan dan kuasa itu bukan bersifat pentadbiran semata-mata, sambil menegaskan bahawa Speaker bukan sekadar ‘rubber stamp’. - Bernama