KOTA BHARU - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan digesa memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh dasar, mengemukakan tawaran alternatif kepada rakyat dan melaksanakan kerja politik yang lebih substantif, bukannya terus sibuk mengatur serta mendesak peletakan jawatan pemimpin parti serta kerajaan lain.Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, pendekatan politik matang seharusnya berteraskan idea, dasar dan khidmat kepada rakyat, bukan serangan simbolik yang bersifat retorik serta tidak membawa manfaat kepada masyarakat.Menurut beliau, tindakan AMK Kelantan yang lebih menumpukan isu peletakan jawatan individu tertentu jelas menunjukkan kegagalan menawarkan penyelesaian sebenar kepada permasalahan rakyat, khususnya dalam aspek ekonomi, kos sara hidup dan peluang pekerjaan anak muda."Rakyat hari ini menuntut tawaran yang jelas dan realistik, bukannya polemik politik yang tidak berkesudahan."AMK Kelantan seharusnya tampil dengan pelan dasar yang meyakinkan jika benar mahu menjadi pilihan anak muda," katanya kepada pemberita pada Jumaat.Menurut beliau, kerja politik yang matang perlu dibina melalui perbahasan dasar, hujah berfakta dan rekod perkhidmatan yang nyata kepada rakyat serta bukannya dengan mencampuri urusan dalaman parti lain.Sebelum ini media melaporkan, AMK Kelantan mendesak Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh supaya meletak jawatan sebagai EXCO Melaka.Menurut Ketua AMK Kelantan, Ezzat Hanuzi, ia membolehkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu bergerak sebagai ADUN biasa tanpa sebarang peruntukan khas."YB Akmal lepaslah jawatan sebagai EXCO di Melaka supaya YB boleh bekerja sebagai ADUN biasa dan belajar menjadi ADUN pembangkang yang tidak mempunyai sebarang keistimewaan dan peruntukan khas."YB Akmal juga boleh berikan arahan kepada semua Pemuda UMNO di setiap bahagian supaya melepaskan jawatan mereka dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan bergeraklah sebagai pembangkang bermaruah," katanya.