PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama daripada pelbagai pihak dalam usaha menyediakan kemudahan atau menaik taraf sistem kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah-sekolah seluruh negara.Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, hasil Audit Keselamatan Murid dan Asrama yang dilaksanakan oleh Jemaah Nazir pada tahun 2025 menunjukkan hanya 28.9 peratus daripada 850 sekolah mempunyai kemudahan CCTV yang lengkap dan berfungsi."Ini adalah panggilan untuk kita bertindak kerana hanya 28.9 peratus sahaja CCTV di sekolah yang berfungsi," katanya dalam ucapan Amanat Tahun Baharu KPM di sini, pada Jumaat.Menurut beliau, pemasangan CCTV di sekolah dilaksanakan melalui pelbagai kaedah termasuk pembiayaan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), kerjasama pihak swasta, mahupun pembabitan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di peringkat komuniti."Jadi apa sahaja bentuk kerjasama, saya fikir jangan terlalu ketat di peringkat kementerian. Kalau ada pihak yang ingin membantu, kita buka jalan dan beri sokongan. Ini semua adalah sekolah kita," ujarnya.Fadhlina menegaskan, isu keselamatan sekolah tidak boleh dipandang ringan kerana ia membabitkan keyakinan ibu bapa dan masyarakat terhadap KPM."Bagaimana kita mahu menjawab kepada masyarakat kalau hanya 28 peratus CCTV yang berfungsi?" soalnya.Dalam usaha meningkatkan kawalan keselamatan fizikal, beliau berkata, lebih 300 sekolah akan dipasang sistem CCTV pada tahun ini sebagai sebahagian daripada inisiatif segera (Quick Win) di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2026–2035."Keselamatan sekolah adalah soal keyakinan masyarakat terhadap institusi KPM," katanya.Pada Oktober lalu, KPM telah mengumumkan peruntukan tambahan RM5 juta bagi pemasangan CCTV di sekolah-sekolah terpilih di seluruh negara, sebagai langkah segera mempertingkatkan keselamatan dan mengurangkan risiko kejadian tidak diingini.Langkah tersebut adalah sebahagian daripada pelan tindakan menyeluruh kementerian dalam memperkukuh keselamatan serta menangani isu disiplin murid di semua institusi pendidikan di bawah seliaan KPM.Dalam perkembangan berkaitan, Fadhlina turut meminta ibu bapa agar tidak bimbang dengan arahan terbaharu KPM untuk mewajibkan pelajar yang berpindah sekolah melampirkan laporan kesihatan, termasuk tahap kesihatan mental dan rekod disiplin, bermula sesi persekolahan 2026.Beliau berkata, kementerian telah melaksanakan reformasi segera bagi menyediakan sokongan kepada semua murid, termasuk yang mempunyai masalah disiplin, kesihatan mental dan lain-lain isu berkaitan.Ia bagi memastikan mereka boleh memulakan sesi persekolahan dengan sokongan sewajarnya serta menerima hak mereka terhadap pendidikan secara adil – sama ada murid yang dilindungi, bermasalah atau murid umum."Jadi, berkenaan stigma atau kebimbangan keselamatan itu, jika ada sebarang kerisauan, ibu bapa boleh tampil dan beri saranan kepada kementerian."Ia supaya kita boleh melakukan intervensi serta-merta sekiranya ada murid atau ibu bapa yang tidak selesa," tambah beliau.Sebelum ini, Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad, dilaporkan berkata bahawa arahan tersebut adalah sebahagian daripada garis panduan keselamatan sekolah yang akan dikeluarkan KPM bagi menangani isu buli, gangguan seksual dan keselamatan fizikal murid.