PRK Lamag: 'Satu lawan satu', Miha tidak pandang remeh

KINABATANGAN – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, Mohd Ismail Ayob atau lebih dikenali sebagai Miha, tidak memandang remeh persaingan satu lawan satu menentang calon Parti Warisan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan berkenaan.Miha menyifatkan pertandingan tersebut sebagai persaingan yang jelas kerana hanya akan melahirkan seorang pemenang."Kita tidak memandang remeh setiap calon dan parti. Bagi kita, setiap perlawanan itu penting dan perlu dihadapi dengan sebaik mungkin, sehabis mungkin."Dalam pilihan raya ini, tiada seri. Yang ada hanya menang dan kalah. Sudah pasti, saya cukup yakin dan percaya bahawa dengan sokongan rakyat Lamag dan Kinabatangan, kerusi ini mampu dikekalkan sebagai milik BN," katanya ketika ditemui pemberita selepas proses penamaan calon di Dewan Sri Lamag, di sini, pada Sabtu.Mengulas mengenai pencabarnya, Mazliwati Abdul Malek, yang juga bekas rakan seperjuangan ketika bersama Warisan sebelum ini, beliau menyifatkan perkara itu sebagai sebahagian daripada proses demokrasi yang perlu dilalui dalam pilihan raya."Bagi saya ini adalah satu proses demokrasi dan bukan perkara luar biasa. Ia adalah lumrah dalam politik."Hari ini, kita berdepan satu lawan satu dengan Warisan. Bagi saya, ini satu persaingan sihat dan demi meraikan demokrasi, maka wajarlah kita masing-masing berkempen untuk memenangkan parti kita, khususnya BN," katanya.Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, Miha bertanding atas tiket Bebas namun tewas kepada penyandang kerusi DUN Lamag ketika itu, Datuk Seri Bung Moktar Radin.Bagaimanapun, Bung Moktar meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu pada 5 Disember lalu akibat komplikasi buah pinggang dan paru-paru.Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengisytiharkan kekosongan luar jangka bagi kerusi DUN Lamag dan Parlimen Kinabatangan yang diwakili Allahyarham, dan menetapkan PRK diadakan pada 24 Januari ini.