MIC sokong pengampunan Najib

TAPAH – MIC menyatakan sokongan terhadap usul yang akan dibawa dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 berkaitan pengampunan penuh terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.Timbalan Presidennya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, pengampunan penuh terhadap Najib disifatkan sebagai satu cadangan yang baik bagi membebaskan bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu.Menurutnya, perkembangan terbaharu berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang telah diputuskan oleh mahkamah sebelum ini tidak memihak kepada Najib."MIC menyokong cadangan itu. Hari ini kita melihat mungkin ramai menunggu keputusan mahkamah berkaitan kes 1MDB dan keputusan itu telah pun diperoleh."Ini juga julung kali hampir lebih 100 bahagian dalam PAU memutuskan perkara tersebut. Mungkin ini satu cadangan yang baik dan MIC sentiasa menyokong," katanya kepada pemberita.Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan peralatan berjumlah RM150,000 kepada pekebun, penternak dan peniaga golongan B40 di Parlimen Tapah di Pejabat MIC Bahagian Tapah, Jalan Chenderiang Lama di sini, pada Sabtu.Dalam perkembangan lain, Saravanan menegaskan MIC setakat ini kekal bersama Barisan Nasional (BN) dan sebarang keputusan berkaitan hala tuju parti akan diputuskan oleh Majlis Tertinggi MIC."Setakat ini kita masih bersama BN. Keputusan muktamad diserahkan kepada Majlis Tertinggi MIC."Selepas perayaan Thaipusam, mungkin awal atau pertengahan Februari, barulah keputusan dibuat," katanya.Menurut beliau, BN berpegang kepada prinsip konsensus dan sebarang cadangan termasuk bergerak sendiri pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) perlu mendapat persetujuan semua parti komponen.Pada 9 Januari lalu, media melaporkan usul berkaitan tuntutan pengampunan penuh terhadap Najib merupakan yang paling banyak diterima sempena PAU kali ini.Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sebanyak 104 bahagian mengemukakan usul berhubung perkara itu berbanding keseluruhan 662 usul yang diterima oleh Ibu Pejabat UMNO selepas persidangan bahagian-bahagian UMNO tahun lalu.Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 26 Disember tahun lalu menjatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun dan denda RM11.4 bilion terhadap Najib selepas beliau didapati bersalah atas 25 pertuduhan pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion membabitkan dana 1MDB.