PRK Kinabatangan medan uji tolak amalan politik wang - Goldam

KINABATANGAN – Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan disifatkan sebagai medan terbaik untuk menguji kematangan pengundi dalam menolak amalan politik wang sepanjang proses pemilihan wakil rakyat di kawasan tersebut.Calon Bebas Parlimen Kinabatangan, Goldam Hamid, 40, berkata, PRK ini wajar dijadikan contoh kepada rakyat, khususnya pengundi muda, untuk membuat pilihan secara matang tanpa dipengaruhi sogokan atau kepentingan tertentu."Pengundi muda perlu menilai semua calon, manifesto dan keperibadian mereka, serta membuat keputusan berdasarkan penilaian yang matang, bukan bersandarkan kepada faktor lain."Seperti yang saudara Naim (calon Barisan Nasional, Mohd Naim Kurniawan Moktar) kongsikan baru-baru ini mengenai politik wang sebagai racun, perkara itu memang benar. Sebab itu saya menyeru calon-calon lain dan rakyat Kuamut, khususnya pengundi di Kuamut, supaya kita menguji kali ini tanpa politik wang."Kita uji kekuatan sebenar, uji populariti sebenar tanpa politik wang. Politik wang ini sangat berbahaya kepada negeri dan negara, seperti yang disebutkan dalam hantaran media sosial tersebut," katanya kepada pemberita selepas selesai proses penamaan calon di Dewan Sri Lamag, di sini pada Sabtu.Mengulas mengenai fokus utama kempen beliau, Goldam yang juga seorang peguam berkata, beliau akan menekankan kesedaran rakyat terhadap hak-hak Sabah yang termaktub dalam pembentukan Malaysia."Fokus utama saya adalah membawa kesedaran kepada seluruh rakyat Kinabatangan mengenai hak Sabah, termasuk hak 40 peratus dan hak-hak lain yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)," ujarnya.Tambahnya, isu tersebut perlu diberi keutamaan kerana ia berkait rapat dengan keupayaan Sabah untuk dibangunkan secara menyeluruh."Rakyat Kuamut khususnya perlu sedar bahawa isu ini sangat penting. Jika kerajaan Persekutuan melaksanakan tanggungjawab seperti termaktub dalam Perlembagaan dan perjanjian yang dipersetujui, Sabah sudah tentu akan memiliki bajet mencukupi untuk pembangunan," jelasnya.PRK kali ini menyaksikan saingan tiga penjuru bagi kerusi Parlimen Kinabatangan, yang akan berlangsung serentak dengan PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada 24 Januari ini.Goldam bakal berdepan saingan daripada Mohd Naim Kurniawan Moktar, anak kepada Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga bekas penyandang kerusi tersebut, serta calon Parti Warisan, Datuk Saddi Abdul Rahman yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau.