JOHOR BAHRU – Seorang suri rumah nekad memutuskan hubungan dengan anak lelakinya yang dipercayai berhutang dengan ceti haram (along), sehingga menyebabkan dirinya serta ahli keluarga lain berdepan ugutan, Disember lalu.Menurut wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Siah, 44, akibat hutang tersebut, along terbabit mula mengganggu dirinya, anak-anak serta adik iparnya, termasuk mengancam untuk menyimbah cat merah dan membakar rumah yang didiaminya.Malah, Siah menegaskan dia tidak mengetahui anak lelakinya yang berusia 27 tahun itu meminjam wang daripada along kerana sudah lama tidak berhubung."Sebenarnya saya pun tidak tahu anak saya berhutang dengan along sehingga saya dan keluarga menerima ugutan ini."Mereka ugut saya. Hari ini minta RM3,000, esok minta RM5,000 dan saya juga terkejut apabila along itu mengetahui segala maklumat lengkap ahli keluarga saya."Oleh itu, saya nekad memutuskan hubungan kerana saya tidak mampu membayar dan tidak tahu di mana dia berada," katanya pada sidang akhbar di Taman Maju Jaya, di sini, pada Sabtu.Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Andrew Chen Kah Eng dan Pegawai Kemajuan Perkampungan Daerah Johor Bahru, Loo Nickee.Tambah Siah, dia juga sudah membuat laporan polis berhubung perkara terbabit kerana bimbang akan keselamatan dirinya serta keluarga."Sehingga sekarang, dia tidak membuat sebarang pembayaran kepada along berkenaan."Saya juga berharap agar mereka tidak lagi mengganggu saya serta keluarga," katanya.Sementara itu, Kah Eng berkata, kes sedemikian wajar dilaporkan kepada pihak polis dan agensi berkaitan kerana sindiket along tersebut dilihat memiliki rangkaian teratur serta akses kepada maklumat peribadi mangsa."Bagi kes seperti ini, sukar untuk kita mengesan mereka kerana hanya dapat berhubung melalui telefon sahaja. Lebih membimbangkan, ahli keluarga yang tidak bersalah turut terpalit apabila menerima ugutan daripada along."Oleh itu, kita meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menyiasat bagaimana sindiket ini dengan mudah memperoleh data maklumat peribadi keluarga mangsa," ujarnya.