KUALA LUMPUR – Kerajaan menegaskan komitmen untuk meneruskan usaha membanteras rasuah dan memperkukuh reformasi institusi meskipun mengakui masih berdepan cabaran besar kerana rasuah bersifat sistemik.Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jika dibandingkan dengan beberapa tahun kebelakangan ini serta prestasi penguatkuasaan yang semakin berkesan, perkembangan itu adalah sesuatu yang membanggakan."Saya tidak mengatakan bahawa saya berpuas hati sepenuhnya. Kita telah melalui semua kes besar, termasuk melibatkan bekas perdana menteri, bekas menteri serta pemantauan yang sangat rapi terhadap anggota Kabinet dan jentera kerajaan."Namun begitu, masih wujud unsur kemerosotan kerana seperti yang telah saya nyatakan sebelum ini, rasuah bukan sahaja bersifat endemik, malah sistemik."Ia memerlukan usaha yang sangat besar. Saya ingin memuji agensi penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Imigresen serta semua agensi lain," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Konservasi Giant Panda (PKGP) Zoo Negara, di sini, pada Sabtu.Mengulas lanjut, Anwar berkata, walaupun terdapat kejayaan relatif, masih terdapat isu besar yang perlu ditangani secara berterusan.Tambah beliau, dalam kalangan pemimpin politik termasuk pembangkang, sokongan terhadap usaha membanteras rasuah tidak menyeluruh apabila tindakan terhadap tokoh besar atau taikun sering dipersoalkan.Namun, beliau menegaskan pendirian kerajaan adalah jelas dan usaha membanteras rasuah akan diteruskan tanpa kompromi.Terdahulu, bekas Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan dua isterinya merupakan antara lima individu yang ditahan SPRM berhubung dakwaan penyelewengan berkaitan tender perolehan tentera.Siasatan terhadap kes tersebut bermula pada 23 Disember selepas satu laporan dibuat oleh aktivis Badrul Hisham Shaharin, juga dikenali sebagai Chegubard.