Wanita maut, suami cedera parah nahas dua kereta

BATU PAHAT – Seorang wanita maut manakala suaminya cedera parah dalam nahas melibatkan dua kereta di Batu 14, Jalan Labis–Yong Peng di sini pada Jumaat.Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian dipercayai berlaku pada jam 8.45 malam itu melibatkan kereta jenis Proton Saga dengan Toyota Yaris."Siasatan awal mendapati kereta Proton Saga dipandu seorang lelaki warga emas berusia 64 tahun bersama isterinya berusia 57 tahun, datang dari arah Segamat menuju ke Yong Peng untuk pulang ke rumah di Parit Raja."Ketika melalui jalan berkenaan, kereta itu telah dilanggar oleh sebuah Toyota Yaris dipandu seorang wanita tempatan berusia 32 tahun, yang dipercayai hilang kawalan dari arah bertentangan."Akibatnya, berlaku perlanggaran secara bertembung antara kedua-dua kenderaan, menyebabkan wanita berusia 57 tahun itu mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat kira-kira jam 10.20 malam hari yang sama," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.Tambah Shahrulanuar Mushaddat, pemandu Proton Saga iaitu suami mangsa yang berusia 64 tahun turut mengalami kecederaan parah di bahagian dada dan kaki serta sedang menerima rawatan di Zon Merah hospital berkenaan.Katanya, pemandu Toyota Yaris iaitu wanita tempatan berusia 32 tahun dilaporkan mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan dan kaki."Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian," katanya.