KOTA BHARU - Bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Mohd Zaid Ibrahim diingatkan supaya tidak menjadi batu api dengan meminta UMNO berhenti menggunakan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) sebagai medan menggesa kerajaan supaya memberi pengampunan penuh kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Zawawi Othman berkata, sebagai individu yang pernah meninggalkan parti dan kembali semula Zaid perlu menjaga kata-kata dan tidak mencetuskan kekeliruan serta polemik yang boleh memecah-belahkan ahli."Kalau sudah kembali, duduk diam-diam. Berkatalah untuk kebaikan parti, jangan menjadi duri dalam daging," katanya kepada pemberita pada Sabtu.Beliau mengulas gesaan Zaid yang mengajak pemimpin UMNO agar tidak bersikap ‘penakut’ dan berhenti menggunakan PAU sebagai medan mendesak kerajaan memberi pengampunan penuh kepada bekas Presiden UMNO itu.Mengulas lanjut, Zawawi berkata, isu berkaitan pengampunan perlu dihormati dan ditangani secara beradab mengikut lunas Perlembagaan dan Raja Berperlembagaan.Ujarnya, hal ini kerana kuasa tersebut di bawah budi bicara Yang di-Pertuan Agong."Kita diajar berdoa kepada ALLAH SWT selepas solat fardu dan solat hajat supaya segala urusan itu dipermudahkan," katanya.Zawawi memberitahu, UMNO bukan medan ujikaji politik untuk mana-mana individu meraih populariti murahan yang akhirnya hanya merugikan parti."Jangan jadikan UMNO sebagai alat permainan pihak tertentu yang hanya ingin menarik perhatian."Ahli parti harus bersatu dan menjaga maruah parti," katanya.Media sebelum ini melaporkan, pemimpin UMNO diseru supaya jangan jadi `penakut’ dan berhenti menggunakan PAU sebagai medan menggesa kerajaan supaya memberi pengampunan penuh kepada Najib.Menurut bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Mohd Zaid Ibrahim, UMNO ketika ini merupakan sebahagian daripada kerajaan dan mempunyai seramai tujuh wakil sebagai menteri.Malah, katanya, Presiden UMNO iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri merupakan Timbalan Perdana Menteri.Sehubungan itu, ujarnya, dengan kekuatan itu, UMNO sepatutnya dapat mengemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Najib mendapat pengampunan penuh.