Penganjur 'Glamping with Pride' hormat hak kaum majoriti, jangan melampaui batas - PPMM

SHAH ALAM – [KEMAS KINI] Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menggesa pihak penganjur program ‘Glamping with Pride’ agar menghormati hak kaum majoriti dalam negara ini serta tidak melampaui batas dan norma budaya masyarakat.Presiden PPMM, Muhamad Hisham Marzuki berkata, sebarang penganjuran program dan perhimpunan atas alasan hak asasi manusia wajar diadakan mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang lain.Menurutnya, undang-undang tersebut menolak sebarang penganjuran, promosi atau normalisasi gaya hidup lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBTQ) secara terbuka kerana ia bertentangan dengan nilai masyarakat yang sihat dan boleh mengganggu ketenteraman awam."PPMM dengan ini membantah sekeras-kerasnya penganjuran program ‘Glamping with Pride’ oleh kumpulan LGBTQ di Selangor."Asas bantahan itu berteraskan prinsip Islam sebagai agama Persekutuan yang jelas menolak sebarang aktiviti mempromosikan nilai dan budaya yang bercanggah dengan agama Islam."Kami menegaskan bahawa mana-mana orang Islam yang terlibat dalam perhimpunan ini adalah terikat dengan undang-undang jenayah syariah yang masih berkuat kuasa," ujarnya.Sebelum ini, program ‘Glamping with Pride’ yang dijadualkan berlangsung di Hulu Langat hujung minggu depan tetap akan diteruskan walaupun mendapat bantahan daripada Pas Selangor.Program tersebut dianjurkan oleh sebuah kumpulan pro-LGBTQ yang dikenali sebagai Jejaka, dan digambarkan sebagai satu program ‘retreat’ berasaskan komuniti yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan, sokongan rakan sebaya serta kesedaran kesihatan.Menurut kumpulan itu, aktiviti berkenaan tidak melanggar undang-undang negara.PPMM turut menggesa pihak berkuasa agama bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk bertindak tegas.Tambah Muhamad Hisham, tindakan sewajarnya perlu diambil bagi membendung sebarang usaha normalisasi budaya songsang LGBTQ di Malaysia."PPMM juga percaya pencegahan ini merupakan usaha untuk membendung segala elemen luar yang boleh merosakkan masyarakat Malaysia yang telah dibina atas landasan yang kukuh dan tepat," katanya.