Mayat Muhammad Zarif ditemukan enam kilometer dari lokasi hilang

KUALA NERUS – Mayat kanak-kanak lelaki yang dilaporkan lemas selepas dihanyutkan ombak besar di Pantai Sauh, Batu Rakit di sini pada Jumaat lalu, ditemukan kira-kira enam kilometer dari lokasi kejadian pada awal pagi Ahad.Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mayat mangsa, Muhammad Zarif Mohd Hazahari, 5, ditemui sekitar jam 3 pagi oleh pasukan penyelamat dengan bantuan penduduk setempat.Menurutnya, mayat kanak-kanak itu ditemukan terdampar di atas pasir pantai sebelum dibawa naik oleh pasukan terlibat."Mayat mangsa ditemui kira-kira enam kilometer dari lokasi dia dihanyutkan ombak besar di Pantai Sauh, Batu Rakit di sini."Pasukan penyelamat bersama penduduk kampung yang turut membantu berjaya menemukan mayat mangsa dalam operasi pencarian awal pagi tadi," katanya ketika dihubungi di sini, pada Ahad.Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan laporan penuh berkaitan kejadian akan menyusul.Sebelum ini, media melaporkan Muhammad Zarif dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan ombak besar ketika berada di Pantai Sauh, Batu Rakit, sekitar jam 6.30 petang Jumaat lalu.Dalam kejadian itu, mangsa berada di pantai berkenaan bersama ibu saudaranya serta beberapa kanak-kanak lain untuk bersiar-siar.Difahamkan, selepas kira-kira setengah jam berada di kawasan pantai, mangsa dikatakan pergi ke gigi air sebelum secara tiba-tiba dihanyutkan ombak besar.