Penganjur dinasihat batal, henti aktiviti promosi budaya songsang - Mufti Wilayah Persekutuan

SHAH ALAM – Pihak penganjur dinasihatkan supaya membatalkan atau menghentikan sebarang aktiviti yang mempunyai unsur promosi budaya songsang.Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Ahmad Fauwaz Fadzil berkata, ia susulan penularan penganjuran sebuah program bertajuk ‘Glamping With Pride’ yang dikesan mempromosikan gaya hidup serta budaya songsang yang bertentangan dengan fitrah manusia.Ujarnya, penganjuran program berkenaan yang cuba menyuntik elemen gaya hidup lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBTQ), meskipun dikaburi dengan aktiviti rekreasi yang kelihatan normal seperti glamping, tetap jelas dilarang."Hal ini kerana penganjurannya merupakan satu bentuk promosi terhadap perbuatan maksiat dan dosa secara terbuka, lebih-lebih lagi di negara Malaysia yang meletakkan agama Islam berada pada kedudukan istimewa dalam Perlembagaan Persekutuan."Dari perspektif maqasid syariah, penganjuran program sedemikian jelas bercanggah dengan prinsip pemeliharaan keturunan (hifz al-nasl) dalam syariat Islam."Bahkan, tindakan mempromosikan budaya ini dianggap sebagai menyebarkan fahsya’ iaitu perkara keji dalam kalangan orang beriman," katanya menerusi perkongsian Tinta Mufti yang disiarkan di media sosial pada Ahad.Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan program ‘Glamping With Pride’ yang berlangsung di Hulu Langat pada hujung minggu depan tetap diteruskan walaupun mendapat bantahan daripada pelbagai pihak.Program itu dianjurkan oleh sebuah kumpulan LGBT dikenali sebagai Jejaka dan digambarkan sebagai satu program retret berasaskan komuniti yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan, sokongan rakan sebaya serta kesedaran kesihatan.Menurut Ahmad Fauwaz, setiap individu yang terlibat dalam program maksiat seperti itu perlu dikenakan tindakan tegas dan hukuman berat setimpal dengan kejelekan maksiat yang dilakukan."Namun jika ada dalam kalangan yang terlibat ingin bertaubat dan menyesal dalam perbuatan mereka tersebut, ketahuilah pintu taubat sentiasa terbuka bagi mereka yang ingin kembali kepada fitrah."Berbanding penganjuran program sedemikian, umat Islam dan seluruh masyarakat di negara ini sewajarnya didedahkan dengan aktiviti rekreasi yang mampu mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui penghayatan terhadap keindahan alam demi meningkatkan keimanan," ujarnya.Kata Ahmad Fauwaz, setiap penganjuran program awam mestilah menghormati sensitiviti agama, undang-undang dan norma budaya tempatan.Ujarnya, pihak berkuasa dan pemilik premis rekreasi perlu lebih peka dan bertegas dalam menapis sebarang aktiviti yang cuba menormalisasikan budaya bertentangan dengan enakmen jenayah syariah."Masyarakat juga diseru agar tidak memberikan sebarang sokongan atau pengiktirafan terhadap program-program yang mempunyai agenda tersembunyi untuk merosakkan aqidah dan akhlak anak muda kita."Sikap berdiam diri terhadap kemungkaran yang dipromosikan secara terang-terangan dikhuatiri akan mengundang bala yang menyeluruh," ulasnya.