SHAH ALAM - 'Tolonglah cik, nanti ibu bapa saya marah kalau tahu saya ditahan,".Itu rayu seorang gadis ketika ditahan selepas dipercayai berlumba serta dikesan melakukan pelbagai aksi berbahaya dalam Ops Samseng Jalanan berdekatan Plaza Tol Elmina, Lebuhraya Guthrie di sini pada awal pagi Ahad.Drama air mata yang berlaku hampir setengah jam itu bagaimanapun berjaya ditangani sebaiknya oleh anggota polis bertugas yang bertindak menenangkannya.Dakwa gadis berusia 18 tahun itu, dia terpaksa datang ke lokasi terbabit sekadar untuk menemani rakannya itu selepas berhutang sebanyak RM8.Bagaimanapun helahnya itu terbongkar setelah risikan dijalankan mendapati dia bersama beberapa penunggang lain dipercayai berlumba selain turun dikesan melakukan pelbagai aksi berbahaya.Gadis terbabit menyatakan dirinya takut dimarahi kedua ibu bapanya sekiranya mereka mendapat tahu dia ditahan polis.Dalam pada itu, seorang gadis berusia 19 tahun menerima 15 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas termasuk dipercayai menunggang secara berbahaya.Jelasnya, aktiviti itu dilakukan sekadar untuk mengisi masa lapang selain mengakui minat dalam dunia permotoran.Sinar Harian yang berpeluang menyertai operasi tersebut mendapati suasana di sekitar lokasi mula 'meriah' sekitar jam 12.30 pagi apabila kumpulan penunggang motosikal berkumpul dan melakukan pelbagai aksi berbahaya.Ada antara penunggang motosikal sanggup mempertaruhkan nyawa dengan memecut melawan arus dan menunggang secara melulu semata-mata mahu mengelak daripada ditahan.Bagaimanapun, tindakan pantas pihak berkuasa menutup beberapa susur keluar sekitar kawasan lebuh raya terbabit berjaya menyekat cubaan penunggang motosikal meloloskan diri.Operasi membanteras samseng jalanan itu melibatkan lebih 60 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) serta Jabatan Pencegahan Jenayah Keselamatan Komuniti (JPJKK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor serta anggota beberapa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) sekitar.Turut membantu operasi melibatkan 10 petugas konsesi Lebuhraya GCE serta seorang pegawai dan 10 anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).Sementara itu Timbalan Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Mohd Zaini Abu Hassan berkata, sebanyak 147 saman dikeluarkan pihaknya melibatkan pelbagai jenis kesalahan trafik.Beliau berkata, turut ditahan dalam operasi berkenaan melibatkan 10 individu termasuk pelajar sekolah menengah dan pelajar kolej selepas dikesan terlibat dalam kegiatan samseng jalanan di sepanjang lebuh raya itu.Menurutnya, operasi berkenaan turut memfokuskan kawasan antara lampu isyarat Denai Alam hingga jejantas Persiaran Elmina yang dikenal pasti sebagai lokasi tumpuan aktiviti berbahaya penunggang motosikal."Seramai 10 individu berusia antara 17 hingga 26 tahun ditahan membabitkan tujuh lelaki dan tiga perempuan.Mereka terdiri daripada remaja sekolah, pelajar kolej serta pekerja sektor swasta," katanya pada Ahad.Beliau berkata, risikan dan pemerhatian di lokasi mendapati kumpulan berkenaan melakukan pelbagai aksi ekstrem termasuk berlumba sesama sendiri, melawan arus, selain aksi zig-zag dan ‘superman’ yang membahayakan nyawa."Tindakan menunggang secara melulu ini bukan sahaja mengancam keselamatan diri mereka, malah membahayakan pengguna jalan raya lain."Turut disita melibatkan 10 buah motosikal yang diambil tindakan di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.Tambahnya, pihak Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang turut terlibat dalam operasi itu menahan lima lelaki selepas didapati positif dadah jenis methamphetamine, ganja dan ketum menerusi ujian saringan air kencing.Menurut Mohd Zaini, kejayaan operasi berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Polis Selangor dalam membanteras aktiviti samseng jalanan dan memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terjamin."Polis tidak akan berkompromi dan akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi mengekang aktiviti menyalahi undang-undang ini."Orang ramai khususnya ibu bapa diingatkan agar memantau pergerakan anak-anak bagi mengelakkan mereka terlibat dalam kegiatan samseng jalanan," katanya.