Banjir Sabah, Sarawak: Lebih 3,000 mangsa masih berlindung di PPS

KUALA LUMPUR - Jumlah mangsa banjir di Sarawak dan Sabah mencatatkan penurunan setakat 4 petang tadi dengan 3,168 orang masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS), berbanding 4,257 pada sebelah pagi.Di SARAWAK, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memaklumkan hanya 29 PPS masih aktif petang ini, menempatkan 2,802 mangsa daripada 864 keluarga, berbanding 41 PPS yang menempatkan 3,890 mangsa daripada 1,175 keluarga pada 8 pagi tadi.Sebelas PPS yang ditutup melibatkan kawasan Samarahan, Gedong, Siburan dan Balai Ringin ekoran keadaan banjir yang semakin terkawal.Bagaimanapun, JPBN memaklumkan jumlah mangsa mencatat peningkatan di beberapa lokasi, melibatkan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Krusen di Serian, serta PPS Dewan Suarah dan PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sebauh di Bintulu.Di SABAH, Sekretariat JPBN Sabah dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir menurun sedikit kepada 366 orang daripada 138 keluarga setakat 4 petang ini, berbanding 367 orang daripada 137 keluarga pagi tadi.Kesemua mangsa di daerah Beaufort itu ditempatkan di dua pusat pemindahan yang masih beroperasi dengan Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Dewan Slagon merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 328 orang daripada 123 keluarga, manakala selebihnya di PPS Dewan Sri Dayang Shahbandar, Padas Damit. - Bernama