'Kenalah hormat kawan juga', Afnan Hamimi selar Hilman

SHAH ALAM - Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden menyelar kenyataan seorang pemimpin, dipercayai Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Muhammad Hilman Idham yang meminta semua parti komponen Perikatan Nasional (PN) diberikan ruang membuat ketetapan terlebih dahulu berhubung pelantikan Pengerusi PN baharu.Afnan Hamimi berkata, sekiranya Bersatu inginkan penghormatan, parti tersebut juga mesti menghormati rakan dalam PN, khususnya Pas.Ahli Parlimen Alor Setar itu turut membangkitkan isu di mana Bersatu sebelum ini mengumumkan pemimpinnya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon tunggal untuk menjadi Perdana Menteri, seolah-olah tidak menghormati ketetapan parti sekutunya."Umum pula di depan batang hidung kawan dalam majlis yang kamu jemput sebagai tetamu. Waktu itu ada kamu hormat kawan?"Semasa orang parti kamu tandatangan akuan bersumpah (SD) di Perlis baru-baru ini, menjatuhkan Menteri Besar daripada parti rakan (Pas) dan mengkhianati kawan, ada kamu hormati pendirian atau ketetapan parti rakan?"Kena pada kawan tak apa, tak perlu hormat. Bila kena pada diri sendiri, baru desak supaya kawan hormat diri kita. Betulkah begitu? Kalau nak minta kawan beri hormat, kenalah hormat kawan juga, mudah," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.Tanpa menyebut nama Muhammad Hilman, sebelumnya pemimpin muda Bersatu itu ketika dihubungi media meminta supaya semua parti komponen PN diberikan ruang untuk membuat ketetapan masing-masing terlebih dahulu sebelum keputusan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) gabungan.Tambahnya, mesyuarat MT PN bakal diadakan bagi membincangkan peletakan jawatan bekas pengerusi gabungan iaitu Muhyiddin, namun proses dalaman setiap parti perlu dihormati.Muhammad Hilman turut memberitahu, Bersatu sendiri akan membuat beberapa ketetapan dalam mesyuarat yang akan berlangsung dalam masa terdekat, begitu juga Pas dan komponen lain seperti Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Progresif India Malaysia (MIPP).Beliau berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Presiden Pas merangkap Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang supaya dipanggil segera mesyuarat tergempar MT PN bagi menerima dan mengesahkan peletakan jawatan Muhyiddin selaku pengerusi gabungan, termasuk pelantikan baharu jawatan itu.