Warga emas antara dua maut libatkan tiga motosikal

GEORGE TOWN – Dua lelaki termasuk seorang warga emas maut manakala seorang wanita cedera ringan dalam kemalangan jalan raya melibatkan tiga motosikal di Jalan Burma di sini pada Ahad.Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima makluman berhubung kejadian itu melalui Kaunter Aduan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut pada jam 12.35 tengah hari.Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 11.56 pagi itu, kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki warga tempatan berusia 71 tahun secara tiba-tiba menukar laluan dari lorong kiri ke simpang kanan menghala ke Lengkok Burma.Tambah beliau, tindakan tersebut menyebabkan dua motosikal lain yang ditunggang oleh seorang lelaki berusia 41 tahun dan seorang wanita berusia 19 tahun yang sedang bergerak lurus di lorong tengah gagal mengelak lalu merempuh motosikal pertama dari arah belakang."Akibat pelanggaran itu, lelaki warga emas tersebut disahkan maut di tempat kejadian manakala penunggang motosikal kedua meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang pada jam 1.15 petang."Sementara itu, penunggang motosikal ketiga iaitu wanita tempatan hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki kanan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.Menurut beliau, bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik HPP mendapati punca kematian kedua-dua mangsa adalah kecederaan di bahagian kepala yang konsisten dengan kemalangan jalan raya."Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.