Pan-gon tuntut konsistensi Selangor FC

PENGENDALI Selangor FC (SFC), Kim Pan-gon mengakui usaha membentuk identiti dan DNA sebenar skuad Gergasi Merah masih berada di peringkat awal, meskipun memulakan tugasnya dengan kemenangan bergaya pada Sabtu.Dalam aksi Liga Super di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, SFC mempamerkan persembahan bertenaga untuk menewaskan tuan rumah DPMM FC 5-2, hasil pendekatan agresif yang diterapkan walaupun pasukan hanya menjalani persiapan singkat.Pan-gon menyatakan rasa bangga terhadap komitmen serta keberanian pemainnya yang pantas menyesuaikan diri dengan tuntutan taktikal, selepas hanya sempat mengendalikan latihan intensif selama tiga hari."Saya gembira dengan sikap dan semangat yang ditunjukkan pemain. Mereka cuba bermain mengikut ‘cara Selangor’ dan itu satu permulaan yang positif."Apa pun, kami sedang dalam proses membina gaya permainan sendiri untuk menjadi pasukan yang lebih kukuh," katanya.Bekas pengendali Harimau Malaya itu turut memuji ketahanan mental pemain berdepan keadaan padang yang mencabar serta tekanan berterusan daripada lawan, namun mengingatkan agar kemenangan tersebut tidak mengundang rasa selesa."Perjalanan kita masih panjang dan kita perlu terus bergerak dengan rendah diri, setapak demi setapak," ujarnya.Pada masa sama, Pan-gon merakamkan penghargaan kepada penyokong setia, Ultras Selangor yang hadir ke Brunei bagi memberi sokongan padu, sambil mengakui kemenangan pertama itu cukup bermakna buat dirinya selepas kembali mewarnai saingan Liga Malaysia."Menjadi sebahagian daripada Selangor satu kebanggaan. Saya mahu membina pasukan yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga mampu menang."Kemenangan pertama ini amat bermakna buat saya," katanya.