KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Bekas Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim mengaku tidak tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, atas satu kes salah guna wang RM207,000 misi kemanusiaan untuk Myanmar, Yaman, Syria dan Palestin, tujuh tahun lalu.Mohd Hakim Mohd Nor, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Azrul Darus.Lelaki itu didakwa sebagai pengerusi secara tidak jujur telah menyalahgunakan wang milik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu berjumlah RM207,000.Ia merupakan wang derma bantuan misi kemanusiaan dengan kerjasama NGO di Myanmar, Yaman, Syria dan Palestin di sebuah bank cawangan di Jalan Sultan Hishamuddin di sini pada 27 Disember 2019.Bapa kepada tiga anak itu dituduh mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Asmaa' Zamri mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin.Beliau berkata, ia termasuk syarat tambahan, melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.Bagaimanapun, peguam, Azizzul Shariman Mat Yusoff yang mewakili tertuduh berkata, jumlah jaminan yang dicadangkan terlalu tinggi sedangkan dia memberi kerjasama baik, sejak awal kes ini disiasat.Menurutnya, selepas diminta hadir ke mahkamah untuk menghadapi pertuduhan, dia tiba seawal 8 pagi sekali gus menunjukkan risiko dia mahu melarikan diri daripada menghadapi perbicaraan, sangat rendah."Anak guam akan dituduh atas kes lain di Melaka dan Perak pada Selasa serta Rabu, jadi saya mohon jumlah jaminan itu ditetapkan pada kadar lebih berkemampuan."Kadar yang terlalu tinggi akan menyukarkannya untuk mengumpulkan wang sebelum menghadapi pertuduhan lain di dua negeri tersebut," katanya.Beliau berkata, tertuduh yang memakai baju kemeja berwarna hitam berkenaan tidak menunjukkan sebarnag risiko untuk melarikan diri.Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Azrul membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan pendakwaan.Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 11 Mac ini.Sebelum ini media melaporkan SPRM berjaya membongkarkan kegiatan penyelewengan dana sebuah NGO hasil sumbangan orang ramai dipercayai berjumlah RM26 juta.Sumber berkata, kegiatan penyelewengan dana itu terbongkar susulan tangkapan lima individu termasuk pengerusi, setiausaha, bendahari dan pegawai kewangan sebuah pertubuhan menerusi Op Serantau.Kegiatan penyelewengan dana hasil sumbangan orang ramai itu dipercayai berlaku sejak 2015.Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memberitahu, pihaknya menyita pelbagai aset berjumlah lebih RM8 juta.Antara barangan yang disita adalah barang kemas bernilai RM100,000, wang tunai lebih RM1 juta, akaun kripto bernilai RM650,000 dan empat buah rumah berharga lebih RM1.4 juta.