KUALA TERENGGANU – Seorang pengarah syarikat mengalami kerugian hampir RM2.95 juta selepas terpedaya dengan skim pelaburan perniagaan secara dalam talian yang ditawarkan seorang kenalan melalui media sosial.Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, kejadian bermula pada Mei tahun lalu apabila mangsa berusia 66 tahun diperkenalkan dengan peluang pelaburan tersebut oleh individu yang dikenalinya menerusi platform dalam talian.Menurutnya, mangsa yang berasal dari Tok Jembal, Kuala Nerus dijanjikan pulangan keuntungan antara 10 hingga 25 peratus daripada modal pelaburan sebelum diminta mendaftar perniagaan melalui satu pautan laman web yang diberikan."Mangsa turut diarahkan memuat turun satu aplikasi kononnya bagi membolehkan keuntungan pelaburan dimasukkan ke dalam akaun miliknya," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.Azli berkata, tertarik dengan pulangan yang ditawarkan, mangsa menggunakan wang simpanan sendiri untuk membuat pelaburan dengan memindahkan wang ke 18 akaun bank berbeza yang diarahkan suspek."Keseluruhan transaksi berjumlah RM2,946,799.50 dilakukan dalam tempoh 10 Jun hingga 7 November tahun lalu," katanya.Beliau berkata, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas gagal memindahkan wang daripada platform pelaburan tersebut ke akaun bank peribadinya.Susulan itu, katanya, mangsa tampil membuat laporan polis pada jam 11.06 pagi Sabtu lalu dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.