[VIDEO] KPM tekankan konsep ‘kawan jaga kawan’ tangani isu buli

KLUANG – Kementerian Pendidikan terus memperkukuh usaha menangani isu buli pada tahun ini dengan melaksanakan program yang membabitkan pelbagai agensi bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat di sekolah.Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Aminuddin Hassim berkata, isu keselamatan dan kesejahteraan murid menjadi keutamaan, dengan konsep ‘kawan jaga kawan’ ditekankan supaya murid saling membantu antara satu sama lain."Kementerian sentiasa bekerjasama dengan kementerian lain seperti Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pembangunan Wanita bagi memperkukuh ekosistem pendidikan dan memastikan keselamatan murid."Akta Anti Buli 2026 yang telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada Sabtu diharap dapat memberi penekanan lebih tegas terhadap isu buli di sekolah," katanya.Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Program Kembali ke Sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Onn Jaafar, Simpang Renggam pada Isnin.Beliau menegaskan, sekolah perlu menjadi "rumah kedua" kepada murid, di mana mereka dapat belajar, berkawan, membesar dan mengikuti pendidikan dalam suasana yang selamat serta menyeronokkan.Dalam pada itu, Aminuddin memaklumkan jumlah murid Tahun Satu di Johor direkodkan seramai 55,406 orang, manakala murid Tingkatan Satu berjumlah 47,237 orang.Jelasnya lagi, Kementerian Pendidikan turut memperuntukkan lebih RM87 juta di bawah Bantuan Awal Persekolahan (BAP) bagi negeri Johor, dengan RM127,000 diperuntukkan kepada Sekolah Kebangsaan Dato’ Onn Jaafar, Simpang Renggam, Kluang.