ATM tidak bertolak ansur terhadap buli, salah laku moral - Menteri Pertahanan

KUALA LUMPUR – Buli, penindasan dan segala budaya hedonisme yang tidak berakhlak dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu dihentikan dengan penguatkuasaan peraturan serta disiplin yang tegas.Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kementerian dan ATM sememangnya telah lama mengharamkan kegiatan yang tidak bersahsiah ini di semua kem tentera di seluruh negara.Menurutnya, kementerian telah menetapkan peraturan dan garis panduan yang jelas serta tegas berkaitan segala aktiviti sosial yang boleh diadakan di kem."Panggillah dengan apa nama sekalipun, ‘yeye’, ‘yaya’ atau apa sahaja, ia adalah perkara keji, tidak bermoral dan bercanggah dengan tradisi hidup Islam."Lebih-lebih lagi dengan penubuhan Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) yang sepatutnya membendung apa-apa unsur mungkar dalam kalangan anggota kita," katanya semasa berucap dalam Perutusan Tahun Baharu 2026 di Wisma Perwira di sini pada Isnin.Beliau berkata, aktiviti-aktiviti haram dan tidak bermoral sebegini tidak sepatutnya berlaku lagi di mana-mana kem ATM.Jelasnya, tiada sesiapa harus menerima segala bentuk perlecehan hak asasi."Tiada wanita harus dijadikan objek seks dan hiburan di mess dan Wisma Perwira kita."Kepada sesiapa sahaja yang terlibat dalam semua kemungkaran moral ini, yang merosakkan imej mulia ATM, kita akan pastikan anda dihukum dan disingkirkan dengan keji daripada perkhidmatan," ujarnya.Tegasnya, sebelum ini kementerian tidak pernah teragak-agak untuk mengenakan tindakan tegas dan menjatuhkan hukuman berat kepada setiap pelaku kesalahan sebegini."Jadi, jangan fikir ini amaran kosong! Begitu juga mereka yang menghabiskan masa dengan bermain golf di luar waktu yang dibenarkan atau bersembang kosong di kedai kopi semasa waktu bekerja, disiplin ketenteraan akan kita tegaskan dan kuatkuasakan."Masa bekerja ialah masa untuk kerja-kerja yang bermanfaat dan membangun, bukan sebaliknya," katanya.Jelas beliau, kembalilah kepada waktu kerja yang sebenarnya dan bekerjalah dengan bersungguh-sungguh; kembalilah kepada perlakuan sebagai pahlawan yang budiman."Masa bekerja juga bukan untuk bersosial di media sosial, dan segala pandangan kita di media sosial mestilah memaparkan etika sebagai anggota pertahanan negara. Jangan sebarkan berita tidak benar, komen yang tidak sahih dan prejudis yang merosakkan perpaduan negara," ujarnya.Turut hadir, Pemangku Panglima Angkatan Tentera, Laksamana Tan Sri Zulhelmy Ithnain.