KUALA LUMPUR – Taktik sindiket mencampurkan dadah dalam air minuman berbotol dan katrij rokok elektronik terbongkar susulan tangkapan seorang lelaki tempatan pada Rabu.Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya merampas pelbagai jenis dadah serta peralatan memproses dan pembungkusan yang dianggarkan bernilai RM832,350."Dalam serbuan pertama, kita menahan seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun yang berperanan sebagai ‘ejen’ pengedar dadah di parkir sebuah kondominium di Jalan Kuching pada jam 12.55 tengah hari."Pada masa sama, kita melakukan pemeriksaan terhadap sebuah kereta Toyota Vios dan menjumpai sejumlah dadah," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini, pada Isnin.Fadil berkata, susulan tangkapan itu, pihaknya melakukan pemeriksaan lanjut terhadap dua buah kenderaan dan dua premis kediaman."Kita telah merampas cecair methylenedioxy methamphetamine (MDMA) dianggarkan seberat 867.252 gram, serbuk MDMA (5,480.50 gram), 190 katrij vape mengandungi cecair ketamin, 306 batang rokok kanabis, beberapa peket plastik berisi ketamin, dadah ekstasi dan pil Erimin 5," katanya.Menurut beliau, polis turut menyita aset suspek di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 yang dianggarkan bernilai RM146,507."Kita telah menyita dua kereta jenis Mercedes-Benz dan Honda City, seutas rantai, dua utas jam tangan serta wang tunai sebanyak RM307," jelasnya.Beliau berkata, modus operandi sindiket yang dipercayai telah beroperasi sejak tiga bulan lalu adalah menjadikan rumah teres dan kondominium sebagai lokasi memproses serta menyimpan dadah bagi mengaburi mata pihak berkuasa."Jus dadah itu kemudian dijual kepada pelanggan pada harga lebih RM300 sebotol, bergantung kepada kualiti," katanya.Fadil berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek negatif dadah dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah."Suspek direman selama tujuh hari bermula Khamis hingga Rabu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.