KPM perkenal Polisi Perlindungan Kanak-Kanak, tidak kompromi kes buli

SHAH ALAM – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memperkenalkan Polisi Perlindungan Kanak-Kanak di sekolah sebagai langkah memperkukuh keselamatan serta kebajikan murid, sekali gus memastikan tiada kes buli di sekolah.Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pelaksanaan polisi itu adalah langkah penting untuk membentuk ekosistem pendidikan yang selamat dan terlindung melalui tanggungjawab bersama."Saya sudah tegaskan dalam amanat tahun baru saya, kita tidak kompromi soal (buli) ini dan tanggungjawab itu mesti dipikul bersama untuk memastikan sekolah sejahtera dan anak-anak kita terus dilindungi."Sebab itu, dalam konteks tahun ini juga, semua pihak akan menandatangani 'Child Protection Policy' di sekolah iaitu polisi perlindungan anak-anak yang melibatkan semua pemegang taruh dengan aku janji untuk menjaga, memelihara dan melindungi anak-anak kita," katanya.Beliau berkata demikian pada sidang media selepas tinjauan hari pertama pembukaan sekolah bagi kalendar akademik sesi 2026/2027 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ladang Regent, Elmina, di sini, pada Isnin.Menurutnya, usaha itu penting bagi memastikan murid sentiasa berada dalam persekitaran yang selamat, terlindung dan bebas daripada sebarang bentuk ancaman.Tambah beliau, polisi berkenaan akan diperkenalkan dalam masa terdekat selaras dengan pembukaan sesi persekolahan.Dalam masa sama, Fadhlina memaklumkan bahawa manual sekolah sejahtera sedang dalam peringkat akhir sebelum dikongsi kepada ibu bapa dan masyarakat.Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, lebih 400,000 murid memulakan sesi persekolahan Tahun Satu tahun ini di seluruh negara.Fadhlina menambah, jumlah murid memasuki Tingkatan Satu turut hampir seimbang dengan angka murid Tahun Satu."Untuk tahun ini, untuk darjah satu, kita ada 442,000 murid. Untuk tingkatan satu, ada lebih kurang 400,000."Jadi, ini anak-anak yang kita sambut pada tahun ini untuk darjah satu dan tingkatan satu," katanya.