ALOR SETAR – Seorang pengarah syarikat didakwa memalsukan dokumen peletakan jawatan rakan pengarahnya, di Mahkamah Sesyen di sini pada Ahad, sehingga menyebabkan tertuduh menerima bayaran projek berjumlah RM949,694.25 tanpa pengetahuan mangsa.Berdasarkan kenyataan media Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noorhayati Ahmad, 49, yang juga kontraktor, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim, N Priscilla Hemamalini dalam prosiding di sebuah hospital swasta di sini, kerana tertuduh menerima rawatan di sana.Mengikut pertuduhan, Noorhayati didakwa menggunakan dokumen palsu sebagai tulen iaitu peletakan jawatan seorang wanita sebagai pengarah syarikat sama hingga menyebabkan dia disingkirkan daripada jawatan berkenaan.Perbuatan itu membolehkan tertuduh membuat penukaran arahan pembayaran bagi projek ke akaun lain yang dikawal sepenuhnya oleh tertuduh.Akibat daripada penukaran arahan pembayaran tersebut, tertuduh didakwa menerima bayaran projek berjumlah RM949,694.25 tanpa pengetahuan mangsa, sedangkan bayaran tersebut sepatutnya dibuat melalui akaun khas projek yang dikawal selia secara bersama.Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Izzati Sapifee sementara tertuduh diwakili peguam, K Mahendren.Priscilla Hemamalini membenarkan tertuduh diberi bon jamin berjumlah RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 1 Mac depan.