MELAKA - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan beliau tidak pernah memulakan serangan terhadap pihak lain, sebaliknya hanya mempertahankan pendirian serta suara akar umbi yang menurutnya tidak wajar diketepikan.Dr Akmal berkata, beliau tidak pernah mencetuskan sebarang isu, sebaliknya dibangkitkan oleh pihak lain sebelum tampil bersuara."Kalau lihat isu stoking atau logo halal, bukan saya yang keluarkan kenyataan dulu, sebaliknya saya hanya mempertahankan apa yang telah dinyatakan."Sebab itu saya kata, kalau saya jenis agresif, saya yang akan menyerang, tetapi saya tak pernah serang. Saya hanya mempertahankan. Itulah diri saya," katanya selepas menghadiri prosiding mediasi kes saman fitnah Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok di Mahkamah Ayer Keroh pada Isnin.Dr Akmal sebelum ini memaklumkan bahawa status berhubung kedudukannya dalam parti dan kerajaan akan diumumkan semasa Perhimpunan Agung UMNO 2025 (PAU 2025) dijadualkan berlangsung minggu ini.Menerusi satu hantaran di Facebook, beliau memaklumkan pengumuman tersebut akan dibuat selepas membawa suara akar umbi parti yang telah dikumpulkan melalui peringkat cawangan dan bahagian ke perhimpunan tahunan itu.Mengulas lanjut, Dr Akmal berkata, beliau akan bertemu Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh disusuli pertemuan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi membincangkan status jawatannya."Setakat ini, akan ada perbincangan lanjut. Hari ini saya akan berbincang dengan Ketua Menteri dan saya juga bercadang untuk berjumpa Presiden bagi membincangkan perjalanan PAU."Mungkin ketika itulah saya akan nyatakan hasrat saya. Jika dipersetujui, insya-ALLAH pengumuman akan dibuat semasa ucaptama di PAU pada Khamis ini," ujarnya.Ditanya sama ada beliau akan menghantar surat rasmi berhubung pengundurannya, Dr Akmal berkata, perkara itu bergantung kepada keputusan perbincangan, namun menegaskan keutamaannya adalah memastikan suara akar umbi terus dibawa ke peringkat tertinggi."Sebagai pemimpin yang mempunyai tanggungjawab, suara pemimpin di bawah dan juga suara akar umbi adalah suara yang perlu kita angkat ke atas. Sudah tentu harapan saya agar suara mereka ini tidak diketepikan."Saya menghormati kuasa Ketua Menteri Melaka dalam menentukan pelantikan Exco, serta kuasa Presiden UMNO sebagai pemimpin parti."Dua individu ini perlu saya dapatkan pandangan dan persetujuan sebelum saya membuat sebarang pengumuman di PAU nanti," katanya.Beliau pada masa sama menghargai setiap pandangan dan nasihat yang diberikan oleh pelbagai pihak."Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang datang berjumpa, menghubungi melalui telefon dan menghantar mesej untuk memberi pandangan."Saya menghargai setiap pendapat yang diberikan dan percaya semuanya mempunyai kebaikan untuk saya pertimbangkan," katanya.