MINDEF rombak pelan anti rasuah besar-besaran - Menteri Pertahanan

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan melaksanakan rombakan pelan anti rasuah secara besar-besaran bagi membanteras rasuah dan segala kecurangan kuasa dalam sistem pertahanan nasional tahun ini.Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, segala proses tender dan perolehan akan disemak semula serta diperbaiki selari dengan amalan terbaik.Katanya, perkara itu menjadi antara empat teras pelarasan MINDEF pada 2026, antaranya berkaitan membanteras rasuah dan segala kecurangan kuasa yang membarah dalam sistem pertahanan nasional."Rasuah, atau persepsi rasuah, dalam apa jua bentuk di MINDEF ini harus berakhir!."Tidak akan ada toleransi terhadap apa jua kecurangan. Bersedialah untuk kehilangan segalanya jika anda adalah penyebab sektor keselamatan kita dikompromi," katanya semasa berucap dalam Perutusan Tahun Baharu 2026 di Wisma Perwira di sini pada Isnin.Tambahnya, segala proses tender dan perolehan akan kita semak semula dan perbaiki selari dengan amalan terbaik.Jelas Mohamed Khaled, rasuah menafikan Malaysia daripada memiliki aset yang bermutu dan mengancam keselamatan anggota tentera."Seruan saya adalah untuk anda semua turut serta bersama-sama saya bagi membersihkan segala bentuk ketirisan dan kecurangan, walau siapa pun yang melakukannya."Rasuah ialah ancaman dari dalam yang akan menewaskan kita tanpa perlu ke medan peperangan sebenar. Rasuah menyebabkan pembaziran dan ketidakcekapan serta mengurangkan keberkesanan kita sebagai agensi pertahanan nasional yang utama," ujarnya.Tegasnya, rasuah merosakkan keperibadian anggota yang terdidik dengan disiplin."Rasuah merupakan barah yang menyebabkan kita tidak mampu bersaing sebagai sebuah negara kuasa pertengahan."Kerana rasuah, berlaku ketirisan dan akhirnya kita tidak mampu memberikan yang terbaik kepada tanah air dan anggota kita," katanya.