KUALA LUMPUR – Pelakon, Kamal Adli meluahkan harapan agar proses pertemuan dengan anak perempuannya yang kini hampir berusia dua tahun menjadi lebih mudah selepas bercerai dengan isteri, Uqasha Senrose di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Isnin.Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Adli, 40, berkata, tiga bulan kebelakangan ini, dia hanya dapat berjumpa anak tunggalnya itu sebanyak lima kali."Ia satu pengalaman yang sukar, sebab sekarang ini saya cuma ada anak sahaja, jadi saya harap lawatan itu akan dipermudahkan."Saya nak jumpa dan habiskan masa dengan anak, tapi kalau Uqasha mahu keluar bersama sekali pun, saya tak kisah," katanya sebak.Sementara itu, peguam syarie Abdul Hadi Mohamad Salleh yang mewakili pelakon filem ‘Takluk: Lahad Datu’ itu berkata, bagi urusan lawatan anak, ia masih dalam peringkat perbincangan.Selepas lebih empat tahun mendirikan rumah tangga, ikatan perkahwinan Uqasha akhirnya terlerai apabila Kamal melafazkan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Isnin.Kamal selaku defendan melafazkan cerai terhadap Uqasha atau nama penuhnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 34, pada jam 12.56 tengah hari di hadapan Hakim Siti Noraini Mohd Ali.Sebelum ini, Uqasha memfailkan permohonan cerai terhadap Kamal pada 1 Oktober lalu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.Untuk rekod, pasangan tersebut mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 dalam sebuah majlis tertutup di Janda Baik, Pahang.Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira yang kini berusia 19 bulan.