KUCHING - Seorang mekanik dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas pertuduhan membunuh seorang pekerja tanah perkuburan Cina di Jalan Lumba Kuda, Kota Sentosa di sini pada 3 Januari lepas.Chang Nyet Nyee, 50, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nursyaheeqa Nazwa Radzali.Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.Chang yang tidak diwakili peguam itu didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Lo Thin Kuek, 68, di Tanah Perkuburan Clan Chai, Kota Sentosa pada 11.30 pagi mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.Timbalan Pendakwa Raya Chuah Khai Sheng tidak menawarkan jaminan dan sebutan semula kes ditetapkan pada 19 Februari ini.Sementara itu di Mahkamah Sesyen, Chang mengaku tidak bersalah atas pertuduhan cuba membunuh anak Thin Keuk, Lo Shau Loong, 34, pada hari sama mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Aiman Mutallib Mohamad Shariff mencadangkan tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh memandangkan cubaan membunuh merupakan kesalahan serius dan dia mempunyai satu lagi pertuduhan iaitu membunuh di Mahkamah Majistret.Hakim Iris Awen Jon tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 12 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes untuk penyerahan dokumen.- Bernama