Jakarta bakal robohkan lebih 100 tiang monorel terbengkalai sejak 20 tahun lalu

JAKARTA – Kerajaan Wilayah Jakarta akan merobohkan lebih 100 tiang konkrit projek monorel yang terbengkalai sejak lebih dua dekad lalu, sekali gus menamatkan satu 'noda' infrastruktur yang mencacatkan beberapa laluan utama ibu kota Indonesia.Gabenor Jakarta, Pramono Anung mengumumkan kerja perobohan akan bermula 14 Januari 2026 dan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya Jakarta.Projek itu akan memberi fokus awal kepada koridor Jalan HR Rasuna Said yang selama ini dibayangi struktur tidak lengkap tersebut.Projek monorel itu dilancarkan pada 2004 tetapi terhenti pada 2007 akibat kekangan pembiayaan dan perselisihan antara pemaju.Pembinaan hanya sempat disambung ringkas pada 2013 sebelum sekali lagi terhenti kerana pertikaian korporat.Akibatnya, deretan tiang konkrit kekal berdiri, mengurangkan kapasiti jalan, menimbulkan risiko keselamatan, serta memberi impak negatif kepada pemandangan dan pembangunan bandar.Justeru, Kerajaan Wilayah Jakarta telah memperuntukkan 100 bilion rupiah (RM24 juta) untuk projek ini.Ia bukan sahaja untuk merobohkan tiang monorel tetapi juga untuk baik pulih jalan, pembinaan semula kaki lima, kemudahan untuk orang kurang upaya, sistem pencahayaan, landskap dan peningkatan sistem perparitan di kawasan berkenaan.Langkah itu bertujuan memulihkan estetika bandar serta memastikan kemudahan infrastruktur yang lebih selamat dan moden.Menurut Pramono, kos 100 bilion rupiah merangkumi pakej pemulihan yang lebih besar — bukan sekadar perobohan struktur."Jika hanya meroboh tiang, kosnya tentu jauh lebih rendah," katanya merujuk kepada anggaran sebenar perobohan tiang yang lebih sederhana jika diasingkan dari keseluruhan program pembangunan semula.Sementara itu, Pengarah Jabatan Kerja Raya Jakarta, Heru Suwondo berkata, jadual perobohan telah dipercepat dan akan bermula dengan 98 tiang yang terletak di sepanjang Jalan Rasuna Said manakala tiang lain yang terdapat di kawasan seperti Jalan Asia Afrika akan diuruskan pada fasa seterusnya.Projek itu dibiayai sepenuhnya melalui belanjawan bandar raya Jakarta dan dianggap sebagai langkah penting dalam meremajakan koridor utama ibu kota, sekali gus memperbaiki persekitaran, keselamatan jalan raya serta mendorong pembangunan perbandaran yang lebih efisien.- Agensi