PDRM siasat kes anggota polis tampar individu di stesen minyak

JOHOR BAHRU – Polis membuka siasatan dalaman berhubung satu rakaman video tular di media sosial yang memaparkan seorang lelaki dipercayai ditampar seorang anggota polis di sebuah stesen minyak di kawasan Taman Perling, di sini, pada Ahad.Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintenden Azrol Anuar Nor berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai berlaku pada kira-kira jam 6.50 petang."Hasil siasatan mendapati individu yang terlibat telah dikenal pasti sebagai seorang anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara."Anggota berkenaan berada dalam keadaan bercuti ketika kejadian berlaku," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.Beliau berkata, setakat ini polis belum menerima sebarang laporan berkaitan kejadian tersebut, namun mangsa telah dikenal pasti dan usaha sedang dijalankan bagi mengesan individu berkenaan untuk membantu siasatan."Pihak polis memandang serius sebarang dakwaan kesalahan atau salah laku melibatkan pegawai dan anggota polis."Susulan itu, satu siasatan dalaman telah dibuka dan tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati wujud pelanggaran undang-undang, peraturan atau tatakelakuan yang ditetapkan," katanya.Dalam perkembangan sama, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden berkenaan dan memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan."Kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini amat dialu-alukan dan polis memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara telus, adil serta berintegriti," katanya.Sebelum itu, tular video berdurasi 32 saat memaparkan sebuah motosikal dinaiki seorang lelaki bersama seorang wanita dihampiri sebuah motosikal dari sebelah tepi.Kemudian datang seorang lelaki memakai topi keleder menampar muka penunggang motosikal itu.Lelaki yang menampar itu kemudiannya dilihat mengeluarkan dompet dari kocek seluar dan menunjukkan kad kemungkinan anggota polis kepada penunggang motosikal sebelum mereka beredar dari stesen minyak tersebut.