Serangan bom 11 stesen minyak, polis Kelantan, Thailand kongsi maklumat

KOTA BHARU – Polis Kelantan dan pihak berkuasa Thailand melakukan perkongsian maklumat susulan serangan bom di 11 stesen minyak di tiga wilayah selatan negara jiran itu pada awal pagi Ahad.Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat menegaskan, kerjasama itu membolehkan pihak berkuasa mengesan sebarang ancaman dengan cepat."Kami berhubung danberkongsi maklumat secara langsung melalui unit risikan serta operasi."Sebelum ini, pihak Thailand juga sudah menguatkuasakan perintah berkurung bermula jam 9 malam hingga 5 pagi di beberapa kawasan selatan negara itu sebagai langkah keselamatan tambahan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini pada Isnin.Serangan bom berkenaan berlaku pada jam 1.04 pagi melibatkan lima stesen minyak di Narathiwat, empat di Yala dan dua di Pattani.Pihak berkuasa Thailand pada Isnin sudah pun menarik semula arahan penguatkuasaan perintah berkurung berkenaan selepas menilai situasi semasa tahap keselamatan di kawasan tersebut.Mohd Yusoff dalam pada itu, mengulang nasihat supaya rakyat negara ini berhati-hati jika merancang lawatan ke wilayah selatan Thailand, terutamanya lokasi sensitif seperti kuil dan kawasan tumpuan pelancong."Ambil langkah berjaga-jaga, lebih baik menunda dulu lawatan ke lokasi berisiko."Nasihat keselamatan berkait kunjungan ke Thailand yang dikeluarkan Wisma Putra pada Mac tahun lepas masih relevan," katanya.Dalam insiden itu, beberapa bahan letupan meletup dalam tempoh kira-kira 40 minit dan membakar 11 stesen minyak terlibat selain mencederakan empat termasuk seorang polis dan dua pekerja stesen minyak.