Siasatan kes pegawai tertinggi ATM dilengkapkan dalam seminggu - Azam Baki

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan melengkapkan siasatan dalam tempoh seminggu berkenaan kes melibatkan seorang pegawai pengurusan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang disiasat berkaitan salah guna dana.Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, SPRM telah selesai merakam percakapan pegawai terbabit pada Isnin."Beliau telah dilepaskan kira-kira jam 5 petang."SPRM akan melengkapkan siasatan dalam tempoh seminggu dan sebarang kemas kini mengenai siasatan kes ini akan dimaklumkan kemudian dari masa ke masa," katanya pada Isnin.Sebelum itu, difahamkan pegawai terbabit telah hadir semula ke Ibu Pejabat SPRM kira-kira jam 10 pagi pada Isnin bagi disambung rekod keterangan.Media tempatan sebelum ini melaporkan seorang pegawai pengurusan tertinggi ATM disiasat SPRM dan akan dituduh dalam masa terdekat.Azam dilaporkan berkata, siasatan membabitkan individu terbabit sudah sampai ke penghujung dan jika dipersetujui Peguam Negara, pegawai pengurusan tertinggi terbabit akan dibawa ke mahkamah untuk pendakwaan.