Isu ladang babi: Isham Jalil cadang buat 'townhall'

SHAH ALAM - Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil mencadangkan supaya diadakan 'townhall' antara Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor bersama penternak ladang babi dengan rakyat di Hulu Selangor.Isham berkata, jangan pula pembinaan ladang babi seluas 500 ekar itu dilaksanakan dengan sewenang-wenangnya 'bulldoze' tanpa persetujuan rakyat.Menurutnya, penternakan babi tidak sesuai dilakukan di Selangor kerana negeri itu tidak mempunyai banyak tanah pertanian, sebaliknya dikelilingi kawasan padat penduduk."Biarlah negeri yang ada tanah hutan yang luas seperti Sarawak menternak dan eksport babi. Buat apa Selangor yang tanah sedikit dan lebih mahal ini nak ternak babi?"Kamu kata ada 'buffer zone' dan kumbahan itu tertutup dan 'zero discharge'. Tapi bau tidak kenal 'buffer zone', exco."Ia boleh pergi berpuluh kilometer, jika sistem kumbahan babi ini bocor, ia mengalir ke mana? Ini semua perlu libat urus dan penerangan kepada rakyat," ujarnya menerusi laman Facebook pada Isnin.Sebelum ini, Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir Izham Hashim menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selama 45 minit bagi membincangkan mengenai isu ladang penternakan babi.Antara intipati perbincangan itu adalah perancangan untuk memindahkan ladang penternakan babi dari Kuala Langat dan Sepang ke kawasan berpusat moden di Bukit Tagar, Hulu Selangor akan disegerakan sebelum hujung tahun ini.Menurut Izham, isu tanah di Bukit Tagar juga perlu diselesaikan sesegera mungkin bagi membolehkan proses pemindahan ke ladang seluas 500 ekar itu dibuat.Jelas beliau lagi, perbincangan itu turut menyentuh tentang keperluan untuk tidak lagi membenarkan pembaharuan lesen operasi babi.Isham turut mempersoalkan tujuan penternakan babi itu memandangkan keluasan ladang sekitar 500 ekar, lima kali ganda besar daripada zoo negara."Tadi exco maklumkan bahawa Sultan Selangor tanya berapa ekor populasi babi yang akan ada di Bukit Tagar? Exco kata dia tak tahu dan dia akan pastikan angka itu kelak."Tuanku titah supaya ladang-ladang ini tidak boleh diguna untuk pasaran eksport. Exco kata ia bukan untuk eksport tapi dia tak tahu berapa ekor populasi babi yang akan ada di situ."Berapa ratus ribu babi yang akan ada dalam 500 ekar itu?" soalnya.Beliau turut menempelak Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor yang menyamakan ladang ayam dan kambing dengan 500 ekar ladang babi."Exco juga kata ladang ayam pun ada di Selangor dan kita makan ayam tak cukup dan kita import. Dia ambil analogi ternakan kambing dan ayam untuk terangkan berkenaan ladang ternakan babi 500 ekar ini."Itu hujah budak tadika pun gelak," katanya.